019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Alhamdulillah. HAS Cinema 1.0 (The Martian) telah dijalankan dengan jayanya. Walaupun terdapat perubahan besar di dalam penganjuran HAS Cinema 1.0, tetapi sekurang-kurangnya, program ini telahpun mencapai objektif. Berikut merupakan perubahan besar penganjuran berbanding perancangan asal.

  1. Tiada dewan yang berjaya ditempah kerana tidak dapat mengumpulkan tempahan minima.
  2. Tontonan filem dilakukan seperti biasa mengikut prosedur orang awam.
  3. Sesi bedah filem tidak dibuat di dalam panggung kerana kegagalan kami menempah dewan. Oleh itu, sesi bedah filem diadakan di food court di dalam sebuah sesi yang santai.

HAS Cinema 1.0

HAS Cinema 1.0

Terdapat pelbagai perkongsian yang menarik dari sudut teknikal pembikinan filem yang disampaikan oleh saudara Ulwan Mokhtar selaku Master Trainer HASFA. Ini kerana secara umum, filem ini akan dibandingkan bersama filem-filem angkasa lain seperti Intestellar (2014), karya Christopher Nolan, dan Gravity (2013), karya Alfonso Cuaron. Ini kerana ketiga-tiga filem mempunyai satu cerita yang sama. Kesemuanya melibatkan angkasawan dan angkasa lepas. Saya sendiri juga akan membandingan filem The Martian berbanding 2 filem itu. Dari sudut perjalanan cerita, sekiranya anda mahukan sesuatu yang ‘deep’, dan mempunyai elemen-elemen 2nd layer message, sudah tentu anda lebih menyukai filem Intestellar kerana idea dan teori yang ingin disampaikan memerlukan anda untuk berfikir dengan berat. Walaubagaimanapun, saya lebih menyukai filem Gravity secara umum. Ini kerana jalan ceritanya yang ringkas dan padat, tetapi mampu membawa audien untuk merasai sendiri kesusahan dan cabaran yang dihadapi oleh watak utama. Elemen-elemen muzik dan efek bunyinya direka dengan sangat kemas dan selari dengan video sehinggakan saya menangis literally semasa menonton. Tidak ditambah lagi dengan perjalanan di sebalik tabir, menjadikan filem ini antara filem yang paling teliti dan susah untuk dihasilkan.

Walaubagaimanapun, di dalam artikel ini, saya ingin berkongsikan tentang apa yang telah kami bedah semasa HAS Cinema 1.0 supaya anda lebih terdidik untuk menonton filem ini, dan juga filem-filem lain pada masa akan datang. Saya akan berkongsi apa yang kami bedah dari sudut mesej dan penyampaian.

  1. Fitrah manusia iaitu manusia adalah makhluk yang bersosial.

Di dalam filem The Martian, kita dapat lihat bahawa watak utama iaitu Mark Watney yang dilakonkan oleh Matt Damon merupakan seorang watak yang banyak bercakap. Di dalam Act 1 filem ini, terdapat satu babak di mana beliau sentiasa berbual dan berjenaka dengan seorang rakannya iaitu Rick Martinez lakonan Michael Pina. Apabila beliau ditinggalkan berseorangan, beliau banyak bercakap dan berbual-bual sendirian di hadapan kamera seorang diri. Perkara ini bukannya satu bentuk kebiasaan kerana Mark Watney tinggal berseorangan di Marikh yang berada sangat jauh dari bumi! Apabila Mark hidup terasing, beliau banyak bercakap bersendirian. Banyak shot yang dilakukan memerlukan Matt Damon untuk bercakap di hadapan kamera yang kebanyakannya Go Pro seolah-olah beliau berbual bersama-sama penonton.

    2. Semakin hebat teknologi, semakin terasing manusia.

Filem merupakan satu medium yang sangat kukuh untuk menyampaikan mesej di dalam bentuk simbol, dan perlambangan. Sebenarnya, apa yang cuba disampaikan oleh pengarah dan penulis skrip? Realiti apa yang ingin ditunjukkan oleh mereka? Sekiranya filem ini tentang survival, mengapa tidak hasilkan filem Mark Watney terdampar di antartika? atau hutan dan pulau terbiar? Inilah apa yang cuba disampaikan. Semakin hebat teknologi, semakin terasing manusia! Adakah anda meninggalkan telefon pintar anda semasa makan bersama rakan-rakan dan keluarga? Cukup dengan persoalan ini membuatkan anda faham tentang mesej yang cuba disampaikan. Inilah simbol yang paling dominan yang ingin disampaikan melalui filem The Martians.

Di dalam filem ini, kita dapat lihat teknologi eksplorasi angkasa berada pada tahap yang sangat tinggi! Terdapat pelbagai teknologi canggih yang telah disediakan dengan lebih awal di dalam misi tanpa manusia untuk menyediakan keperluan bagi angkasawan misi Ares untuk sampai dan memulakan misi. Teknologi seperti Hab, MAV dan Rover telah disediakan terlebih dahulu untuk kegunaan angkasawan tinggal dan bergerak. Selain itu, terdapat satu teknologi untuk menghasilkan air dan udara yang boleh dihirup dan diminum. Ini kerana atmosfera marikh mempunyai 95% CO2 dan hanya 0.03% oksigen. Kapal angkasa Hermes menjadi satu ibu pejabat bagi kerja-kerja menghantar bekalan dari bumi kepada marikh dengan kos yang sangat minimum. Banyak lagi contoh teknologi yang ditunjukkan di dalam filem ini. Dengan teknologi ini, Mark dan rakan-rakan berjaya sampai di planet marikh yang jauh dari bumi. Walaubagaimanapun, satu insiden telah berlaku dan akhirnya, Mark tinggal berseorangan. Pada pendapat saya, ianya merupakan perlambangan yang dalam, disampaikan dengan baik oleh penulis skrip dan pengarah filem.

    3. The Martian dan Feminisme.

Kebanyakan cerita dan filem Hollywood pada masa dahulu banyak menekankan elemen Cinderella Syndrom, iaitu wanita yang bergantung kepada lelaki untuk hidup atau berjaya. Wanita merupakan individu yang perlu diselamatkan. Wanita ditonjolkan sebagai satu susuk yang lemah dan memerlukan pertolongan. Walaubagaimanapun, filem ini adalah sebaliknya dan sudah tentu ianya mendapat sambutan oleh Feminist di seluruh dunia. Ini kerana watak Melissa Lewis merupakan satu watak yang menonjolkan kehebatan wanita. Lewis memegang watak Commander yang mana beliau merupakan orang yang paling berkuasa semasa misi. Beliau merupakan orang yang membuat keputusan untuk meninggalkan Mark, dan beliaulah orang yang membuat keputusan untuk menyelamatkan Mark. babak terkahir menunjukkan beliau keluar dari Hermis di dalam sut angkasa dan menyelamatkan Mark dengan tangan beliau sendiri kerana tidak mahu membahayakan kru angkasawan yang lain. Well, ini merupakan antara isi yang dibedah kerana gerakan feminisme mempunyai kaitan rapat dengan sejarah dan teori perfileman.

    4. Kritikan terhadap agama

Ini perkara yang agak biasa di dalam mana-mana fiem Hollywood. Ada beberapa babak yang menunjukkan kritikan tersebut iaitu babak di mana Mark menggunakan salib kayu rakannya, Martinez untuk dijadikan sebagai bahan api di Marikh. Terdapat satu lagi babak di mana Venkat Kapoor menjawab satu persoalan yang ditujukan kepadanya sewaktu pelancaran roket untuk menghantar bantuan kecemasan.

“Adakah anda percaya kepada tuhan?

“Ya. Ibu saya seorang Hindu, dan bapa saya seorang Kristian. Saya percaya kepada beberapa tuhan”

Jadi, pendapat anda, apakah yang cuba disampaikan?

    5. Rasa ke’bersama’an.

Ini merupakan perkara yang paling saya rasa. Setiap pekerja yang berada di NASA merupakan mereka yang sangat komited di dalam melaksanakan kerja mereka. Apabila NASA mengantar angkasawan ke bulan, atau ke marikh, atau mana-mana misi di angkasa lepas, sudah tentu ramai di antara kita semua yang menganggap bahawa mereka orang yang paling penting dan popular di dalam NASA. Walaubagaimanapun, perlu kita ingat bahawa tukang sapu di NASA juga memainkan peranan penting di dalam organisasi itu. Rasa kebersamaan itu wujud apabila setiap di antara mereka mempunyai rasa tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik di dalam setiap misi yang dilancarkan. Apabila anda merasa bahawa anda sebahagian daripada sesebuah projek, sudah tentu anda akan merasa jerih payah dan cabaran, serta kegembiraan apabila misi dicapai. Apabila anda bertanya kepada tukang sapu di NASA tentang pekerjaan mereka, apa yang mereka jawab bukannya saya sedang menyapu, sebaliknya, saya sedang menghantar manusia ke bulan!

Saya sangat menyukai satu babak di mana bekalan makanan untuk kru misi Ares 4 berjaya di hantar, dan juga apabila Mark berjaya diselamatkan oleh rakan-rakannya. Setiap di antara mereka merasa gembira dengan kejayaan misi. Lihat sahaja apabila roket yang dilancarkan diumumkan sebagai stabil tanpa masalah. Setiap di antara pekerja yang ada berkongsi kegembiraan yang sama.Tiada pula yang sedih atau cemburu kerana merasakan yang mereka tidak penting berbanding angkasawan yang dihantar. Setiap orang mempunyai tempat masing-masing dalam memberikan yang terbaik, anda perlu merasa yang anda adalah orang yang penting kepada organisasi anda! Sekiranya rasa itu tidak ada, anda tidak akan berikan yang terbaik walaupun anda terpilih menjadi presiden mana-mana persatuan sekalipun.

Saya sudah menonton filem ini sebanyak dua kali, dan apa yang dapat saya simpulkan, ianya filem yang baik dan sangat teliti kerana filem ini sebenarnya merupakan gambaran dan prototaip apa yang akan dilakukan oleh NASA pada masa akan datang! Ianya mempunyai plot dan penceritaan yang baik. Kami agak terkejut apabila pengarah filem ini berjaya membawa satu filem yang berlainan dengan apa yang telah beliau hasilkan selama ini! Tahniah sekali lagi, dan diharapkan, anda mempelajari pelbagai perkara semasa menonton!

Article written by : Nazirul Haziq | HASFA CEO

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi