019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

 

Sejauh mana obsesi boleh membawa anda?

Kalau bercakap soal obsesi, saya teringat satu quote yang akan menyambut anda ketika anda menjengah ke Iman Shoppe Serdang, “Obsesiku Buku“.

Iman Shoppe Serdang

Iman Shoppe Serdang

Kalau obsesi anda adalah buku, Alhamdulillah, baguslah! Namun bagaimana jika anda obses terhadap benda lain? Bagaimana jika anda obses terhadap seseorang? Sounds creepy right?

INDIA

India memang terkenal dengan obsesi.

Artis-artis di sana dipuja seperti tuhan. Mereka adalah idola setiap rakyat di sana.

Sebab itulah industri hiburan Bollywood sangat laris; kerana peminat-peminat yang sangat setia dengan artis masing-masing.

Dan obsesi ini ditunjukkan dalam filem terkini Shah Rukh Khan, Fan.

Buat pertama kalinya, Shah Rukh Khan tidak melakonkan watak hero dalam filem cinta.

Sebaliknya dalam filem ini, dia membawa dua watak;

1. sebagai dirinya yang asal: seorang artis pujaan di India namun membawa nama yang lain, Aryan Khanna,

2. sebagai Gaurav: seorang peminat yang sangat obses akan Aryan Khan sehingga seluruh hidupnya dicurahkan hanya untuk memuja Aryan Khanna.

Satu saja kelebihan Gaurav, dia memiliki wajah yang sama dengan Aryan Khanna. Wajah mereka sangat seiras sehingga dia sendiri memegang satu quoteTuhan telah menciptakan Aryan Khanna daripada tanah liat dan lebihan tanah liat itu Tuhan jadikan dirinya, Gaurav“.

Lebih mengejutkan, filem ini hanya mempertaruhkan Shah Rukh Khan sebagai satu-satunya pelakon terkenal. Tiada heroin! Filem ini hanyalah semata-mata berkisar tentang Gaurav dan obsesinya terhadap Aryan Khanna.

Diawal cerita, Fan lebih berkisar kepada bagaimana dia hidup dengan obsesinya daripada kecil lagi. Setiap filem yang dilakonkan Aryan Khanna ditontonnya, setiap poster Aryan Khanna dijadikan wallpaper biliknya.Seluruh hidupnya hanya ditumpukan kepada Aryan Khanna.

Klimaksnya adalah bila dia tekad untuk menemui Aryan Khanna sendiri. Apabila dia gagal untuk menemui Aryan Khan ketika sesi bertemu peminat ketika hari jadi Aryan Khan, dia tekad untuk melakukan apa saja bagi bertemu idolanya itu.

Kebetulan pula pada waktu itu, tersebar gosip bahawa Aryan Khanna bakal digantikan dengan seorang artis baru. Dia yang merasa bertanggungjawab mengugut artis tersebut untuk meminta maaf kepada Aryan Khanna dengan harapan bahawa Aryan Khanna akan berjumpa dengannya untuk berterima kasih.

Namun, kata-kata Aryan Khanna: ‘ Awak hanyalah seorang peminat. Ini adalah hidup saya, masa saya; saya tidak akan bazirkan masa saya walaupun lima saat untuk berjumpa dengan awak!‘ mengubah segala-galanya. Dia menjadi pendendam dan mula merancang untuk menjatuhkan Aryan Khan dengan menggunakan wajahnya.

Dia mencemarkan maruah Aryan Khan sehingga tiada siapa lagi yang mahu menghadiri persembahannya.

Kemuncaknya apabila Aryan Khan sendiri pergi ke kampungnya untuk berjumpanya dan menyelesaikan masalah ini.

Namun ia bertukar tragis apabila mereka sekali lagi berjumpa dan Aryan Khan sekali lagi berkata;’awak tak sepatutnya menghabiskan masa awak dengan obses tentang saya‘.

Kata-kata ini nyata meremukkan hati Gaurav kerana baginya, hidupnya adalah untuk Aryan dan sekiranya Aryan sendiri berkata bahawa dia tidak perlu lagi obses tentangnya, untuk apa lagi dia hidup?

OBSESI

Sejauh mana obsesi boleh membawa anda? Soalan ini berlegar-legar di dalam kepala saya sejurus kredit filem Fan ditayangkan. Sejauh mana obsesi boleh membawa anda?

Di dalam cerita ini, ditunjukkan jawapan kepada persoalan itu. Obsesi Gaurav akhirnya membawa kepada kematiannya.  Sewaktu saya sebagai penonton melihat sendiri bagaimana dia mati dengan melompat terjun dari bangunan, saya tersandar ke kerusi. Seribu sesal menerjah fikiran saya.

Andai dia obses terhadap perkara lain.

Andai saja dia tidak obsesif.

Andai saja Aryan Khanna tidak berkata begitu.

Andai saja dia tidak menumpukan seluruh hidupnya kepada Aryan Khanna.

Pelbagai jenis andaian!

Sejenak saya berfikir mengenai jutaan manusia yang mungkin saja mengalami obsesi yang sama seperti Gaurav.

Fan benar-benar menunjukkan apa akibatnya jika anda terlalu obsesif.

Sedang pandangan Shah Rukh Khan terhadap peminat-peminatnya sendiri berubah sejurus dia melakonkan Fan, inikan pula kita sebagai penonton. Shak Rukh Khan nyata lebih menghargai peminat-peminatnya selepas Fan.

Obsesi boleh menjadi penyakit jika tidak dibendung. Dan menonton Fan membuat saya terpukul.

Apa tanggungjawab kita dalam membendung obsesi?

Berapa ramai lagi yang harus mati kerana tidak tertanggung obsesinya?

Sedang kita menggeleng kepala atau tergelak melihat orang gila di tepi jalan, kadang kita terlupa bahawa mereka sebenarnya boleh dibantu.

Sedang kita menjauhkan diri daripada pesakit jiwa kerana merasa bahaya, kadang kita terlupa bahawa mereka perlu kita dekati untuk terus pulih.

Sedang kita memandang jelik terhadap mereka, tidak pernahkah kita terfikir apa tanggungjawab kita untuk membawa mereka keluar dari situasi itu?

Renungkanlah.

 

We Educate

HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi