019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Filem Animasi Inside Out setakat ini merupakan filem animasi kegemaran saya, merangkul tempat pertama di dalam senarai filem animasi kegemaran saya. Filem ini merupakan filem animasi yang mendapat reviu yang sangat baik, dan ‘rating’ yang tinggi walaupun kutipan tiket hanya mencecah sekitar 857 juta USD sahaja. Jujur, semasa menonton filem ini, memang saya menangis di dalam kegelapan kerana ceritanya yang sangat menyentuh hati. *jujur memang menangis.

Inside out

Apa yang cuba disampaikan melalui filem ini sebenarnya? Filem ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Riley, seorang yang periang dan suka bermain hoki. Kehidupannya sangat ceria sehinggalah ibu bapanya terpaksa berpindah ke San Fransisco, menyebabkan hidup Riley menjadi tertekan kerana cuba menyesuaikan diri di tempat baru. Emosi Riley iaitu Joy, cuba memastikan Riley kekal ceria di dalam menempuh hidup baru. Walaubagaimanapun, Riley dilihat semakin lama semakin tertekan.

5 emosi utama yang diketengahkan.

Dalam fasa awal perjalanan cerita, Joy merupakan satu watak atau emosi yang utama dan dilihat sebagai pemimpin berbanding emosi lain seperti Sadness, Anger, Fear dan Disgust. Joy iaitu emosi gembira dilihat sebagai karakter utama di dalam perkembangan hidup Riley. Ini kerana, Riley merupakan seorang yang ceria dan Joy merupakan emosi yang sentiasa mengawal ‘mesin kawalan utama’ di dalam otak Riley. Jika dilihat di awal penceritaan, misi Joy adalah untuk memastikan Riley kekal ceria sejak Riley lahir lagi. Walaubagaimanapun, Sadness, emosi yang juga wujud sejak lahir dilihat sebagai satu penghalang kerana sentiasa menyebabkan Riley menangis berbanding gembira. Persoalannya, adakah kewujudan Sadness mengganggu misi Joy dari terus menjadikan Riley seorang yang berperwatakan ceria?

Di sini kita dapat lihat bahawa kewujudan Joy dan Sadness merupakan satu kewujudan yang sangat bertentangan. Joy mahukan Riley kekal ceria dan gembira manakala Sadness menjadikan Riley sedih dan menangis. Sejujurnya, saya sendiri merasakan bahawa kewujudan Sadness ini seperti tidak membawa apa-apa makna di awal cerita.

Semakin berkembang perjalanan cerita, semakin kita dapat lihat bahawa Sadness ini hanya menyibuk, dan hanya menjadikan Riley semakin tertekan selepas berpindah ke Sans Fransisco. Joy juga sentiasa menjauhkan Sadness dari mesin kawalan emosi di dalam otak Riley kerana tidak mahu Riley bersedih.

Emosi menjadikan kita hilang kewarasan, atau semakin waras?

Terdapat banyak contoh di dalam filem, animasi, dan lain-lain sumber seperti buku yang menekankan tentang kehadiran emosi sebagai sesuatu perkara yang akan menghalang kita daripada mencapai matlamat. Campur tangan emosi akan menyebabkan kita hilang rasional di dalam membuat pertimbangan. Adakah ianya benar?

Seperti yang kita tahu, sememangnya emosi menjadikan kita hilang kewarasan di dalam membuat pertimbangan. Sebagai contoh, apabila kita sedang bersedih, kita akan cenderung untuk merajuk, atau bertindak lari dari masalah, mengurung diri dan akhirnya mendatangkan kesan kepada kesihatan diri dan lain-lain. Perasaan marah sebagai contoh, menjadikan diri kita hilang kawalan diri dan akhirnya membuat perkara-perkara yang tidak diduga seperti memarahi orang di sekeliling kita, memecahkan barang, membuat keputusan terburu-buru dan lain-lain. Begitu juga dengan perasaan takut. Bayangkan ketakutan inilah yang menghalang kita daripada melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan termasuklah membuang air di tandas pada waktu malam di rumah kampung yang tandasnya 100 meter dari rumah.

Bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Emosi dilihat sebagai sesuatu yang sangat bertentangan dengan akal. Buatlah pertimbangan berdasarkan akal dan lojik, bukannya berdasarkan emosi semata-mata. Orang yang ’emo’ dilihat lemah berbanding orang yang tidak ’emo’. Walaubagaimanapun, apa yang ingin disampaikan oleh filem ini berbeza.

Belajar untuk terima emosi, dan bukan mengawal emosi.

Mengapa kita perlu menerima emosi dan bukan mengawal emosi?

Di dalam filem Inside Out ini, sejak perpindahan Riley ke San Fransisco, Joy cuba menjadikan Riley gembira dan tidak membenarkan Sadness untuk menyentuh mesin kawalan di dalam otak kerana tidak mahu Riley merasa sedih. Setiap kali Sadness cuba menyentuh mesin kawalan di dalam ibu pejabat (otak) Riley, Joy menjauhkan Sadness dan menyuruh Sadness untuk membuat perkara-perkara lain. Pada suatu masa, Joy cuba memahamkan Sadness tentang apa makna kegembiraan dengan mengimbas kembali memori yang paling mengembirakan pernah mereka lalui. Memori paling mengembirakan Joy adalah apabila Riley diusung dan diceriakan oleh rakan-rakannya selepas kekalahan di dalam pertandingan hoki. Memori yang paling mengembirakan Sadness adalah semasa Riley menangis selepas kalah di dalam pertandingan hoki. Paradoks bukan?

Semasa Joy dan Bing Bong terperangkap di dalam tempat pembuangan memori, barulah Joy sedar bahawa memori yang paling mengembirakan Sadness dan Joy adalah satu memori yang sama. Riley yang kesedihan, menangis kerana kekalahannya di dalam perlawanan hoki dipujuk dan diceriakan oleh rakan-rakannya menjadikan memori tersebut merupakan memori yang paling indah pernah dilalui oleh Joy dan Sadness. Bermula dari situ, Joy faham akan kepentingan Sadness di dalam perkembangan emosi yang sihat kepada Riley. Riley perlukan Sadness untuk melalui tekanan yang dihadapi sekarang. Inilah yang cuba disampaikan oleh pengarah filem Inside Out. Belajarlah untuk menerima emosi, dan bukan hanya mengawal emosi semata-mata.

Analogi mudah. Emosi ini seperti rasa sakit.

Contoh mudah untuk menerangkan kepentingan kehadiran emosi adalah seperti rasa sakit apabila badan kita mengalami kecederaan dan gangguan kesihatan. Sekiranya rasa sakit tiada, bagaimana untuk kita tahu yang badan kita sedang mengalami kerosakan? Ini merupakan analogi yang boleh saya berikan kepada anda semua untuk menerangkan tentang kepentingan emosi di dalam perkembangan diri dan personaliti. Perkara ini dikuatkan lagi apabila Bing Bong (rakan imaginasi) menangis mengenangkan Riley tidak memerlukannya lagi sejak Riley meningkat dewasa. Joy cuba memujuk dengan membuatkan Bing Bong gembira tetapi gagal. Sadness pula memujuk Bing Bong dengan membuatkan Bing Bong menangis sepuas-puasnya. Apa yang mengejutkan, Bing Bong terus berasa lega!

Sejak Sadness dan Joy tiada di dalam ibu pejabat kerana disedut keluar dan dicampak ke dalam bahagian memori jangka masa panjang, Riley mengalami ketidakstabilan emosi. Apabila Anger mengambil alih mesin kawalan utama, Riley bertindak nekad untuk lari dari rumah. Ketidakhadiran Sadness dan Joy di dalam menara kawalan menyebabkan Riley hilang pertimbangan. Adakah rasa marah akan menyelesaikan masalah tekanan yang dihadapi oleh Riley? Sudah tentu tidak!

Apabila Joy dan Sadness kembali di dalam ibu pejabat, Sadness diberikan peluang untuk mengawal mesin kawalan emosi Riley. Akhirnya, Joy dan Sadness sendiri yang menekan butang kawalan dan menjadikan Riley pulang ke rumah semula dan menangis sepuas-puasnya di dalam pelukan ibu-bapanya. Saat itu menjadi memori baru yang paling indah dilalui oleh Riley dan pengalaman itu membentuk satu karakter baru di dalam pembinaan personaliti Riley selepas itu. Apa yang diperlukan oleh Riley bukanlah berpura-pura gembira untuk menangani tekanan, sebaliknya menangis dan meluahkan perasaannya kepada ibu-bapanya.

 Babak akhir filem animasi ini menampilkan mesin kawalan di dalam ibu pejabat yang telah dinaiktaraf. Setiap emosi mempunyai bahagian kawalan masing-masing dan ia menjadikan ekspresi emosi Riley menjadi lebih fleksibel dan pelbagai bergantung kepada situasi. Jika dahulu, gembira adalah gembira. Kini, sedih juga boleh menjadi salah satu cara untuk menunjukkan kegembiraan. Emosi manusia menjadi lebih kompleks apabila meningkat dewasa. Apabila Riley menyertai perlawanan hoki, setiap saat di dalam permainan tersebut memerlukan Riley untuk mengekspresi emosinya demi mencapai satu tujuan, iaitu kemenangan di dalam pertandingan. Anda boleh lihat betapa perasaan gembira, sedih, marah, rasa jijik, dan takut kesemuanya diperlukan oleh Riley untuk mendapatkan kemenangan.

Pengajarannya?

Ekspresi emosi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan merupakan fitrah manusia. Sekiranya anda berasa sedih, luahkan rasa kesedihan anda. Sekiranya marah, luahkan rasa marah anda dengan cara yang betul. Sekiranya anda rasa takut dan tidak selesa, luahkan rasa tersebut dengan baik. Ini sangat membantu di dalam perkembangan mental dan emosi yang baik. Anda mungkin akan mendapat kemurungan sekiranya anda sentiasa ‘tahan’ rasa sedih anda tanpa ada usaha untuk menyalurkan rasa sedih anda dengan cara yang betul. ‘Be Honest’ dengan diri anda. Kita perlu terima hakikat yang kita sedang bersedih. Nangislah sepuasnya dan anda akan melihat diri anda yang baru pada masa akan datang.

Banyak lagi sudut menarik yang boleh dikupas di dalam filem animasi ini. Ia merupakan salah satu animasi yang sangat teliti di dalam menyampaikan fungsi otak dan emosi dengan baik. Ada masa, saya akan menulis lagi. Apa pendapat anda tentang filem animasi Inside Out ini? Atau anda mempunyai sebuah filem animasi yang lebih disukai berbanding Inside Out? Jom kongsikan di ruangan komen! Segala cadangan, dan kritikan demi penambahbaikan di dalam penulisan artikel thehasfa.com boleh sangat-sangat dialukan. Jom bersama-sama kami mendidik masyarakat melalui filem, dan melahirkan filmmaker yang mendidik masyarakat!

‘We Educate’
HAS Filmmaking Academy

Artikel disediakan oleh : Nazirul Haziq | CEO HAS Filmmaking Academy

p/s : belanja korang trailer sikit!

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi