019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

“Jadi, filem apa yang paling memberi kesan dalam kehidupan Habibie?”

Jasmine menyoal itu semasa aku ralit mendrafkan kempen iklan di Facebook. Terus saja aku letak telefon di meja.

“Apa yang menyebabkan Jasmine nak tahu sangat?” Aku tanya balik.

“Hei! Habibie ingat Jasmine tak minat filem?”

“Okay, okay. Habibie tak tahu pun Jasmine minat filem. Ingatkan tahu main Facebook saja.”

Dan Jasmine hendak cubit tangan aku, tetapi aku elak.

“Habibie…”

Habibie & Ainun.”

“Hah?”

“Filem yang paling mengesani Habibie sekarang.”

“Betulkah? Jasmine pun suka filem itu. Romantis!”

Aku hirup air tebu sambil senyum. “Jasmine, Jasmine. Dasar perempuan bimbo,” kata aku, tetapi cuma dalam hati.

Sebaliknya aku katakan begini, “Jasmine, Jasmine. Filem nombor dua paling laris di Indonesia itu bukan sekadar filem cinta.”

“Maksud Habibie? Tak fahamlah Jasmine. Itukan memang kisah cinta Eyang Habibie dan Almarhum Ibu Ainun.”

Aku geleng kepala.

Apa yang Jasmine katakan itu memang betul. Namun, sebagai pembaca filem, aku anggap Habibie & Ainun (2012) itu lebih daripada sekadar kisah cinta agung.

Aku tenung mata Jasmine, dan menerangkan, “Betul apa yang Jasmine cakap. Lagipun, BJ Habibie menulis buku Habibie & Ainun setelah hampir gila menangisi kemangkatan isterinya.”

“Hampir gila? Maksudnya?”

“Begini. Selepas pemergian isterinya pada 22 Mei 2010 akibat kanser ovari, BJ Habibie mengalami tekanan jiwa yang sangat serius. Beliau mungkin akan membunuh diri jikalau tidak dirawat.”

Jasmine tutup mulut dengan kedua-dua tangan. Justru aku melanjutkan. “Oleh sebab itu, doktor memberikan beliau empat pilihan. Pertama, masuk hospital mental. Kedua, duduk di rumah dengan pengawasan doktor. Ketiga, luahkan perasaan kepada ahli keluarga secara kerap. Keempat, menulis.”

“Kemudian beliau memilih yang keempat?”

“Tepat sekali. BJ Habibie memilih untuk menulis. Maka terhasillah buku best-seller berjudul Habibie & Ainun yang kemudiannya difilemkan.”

Khali seketika. Aku dan Jasmine masing-masing mengacau air dengan straw. Aku minum sedikit, manakala Jasmine terus mengacau. Seolah-olah dia tidak sedar apa yang dia lakukan.

Tiba-tiba aku terbatuk. Dan Jasmine bertanya setelah sedar daripada lamunan, “Jadi, apa kesan yang dibawa oleh filem itu dalam hidup Habibie?”

Inilah soalan yang aku tunggu semenjak tadi. “Kesannya sangat besar,” kata aku. Aku teruskan lagi sebelum Jasmine dapat mencelah, “Habibie dahulu tak ada idola yang jelas. Tak macam Jasmine, mengidolakan Tunku Tun Aminah, misalnya. Sehinggalah seorang teman memperkenalkan filem itu kepada Habibie.”

“Teman istimewakah?”

Aku ketawa kecil, “Jangan salah sangka. Ehhh… tapi Habibie pernah melamar dia tau! Sayangnya dia menolak. Mungkin sebab masa itu belum tengok babak Rudy melamar Ainun di atas¬†beca.”

Jasmine pun ikut ketawa, malah besar pula. Tidak padan dengan gaya seksinya. “Kesian…” kata dia.

“Pun, kami terus berkawan. Dialah yang beria-ia minta Habibie tengok filem itu. Kalau tak kerana dia, sampai sekarang Habibie tak tahu tentang puisi Sumpahku.”

“Puisi Sumpahku?”

Aku mengalihkan gelas air tebu ke tepi. Dengan tepat melihat mata Jasmine, aku menuturkan puisi itu.

Terlentang, jatuh, perih, kesal.

Ibu pertiwi,

engkau pegangan,

dalam perjalanan,

janji pusaka dan sakti,

tanah tumpah darahku,

makmur dan suci.

Hancur badan,

tetap berjalan,

jiwa besar dan suci,

membawa aku padamu.

Demikian puisi Sumpahku yang dikarang oleh BJ Habibie dalam kesakitan di sebuah rumah sakit di Jerman. Dalam filem, babak itu dilakonkan dengan baik oleh Reza Rahadian. Dia pegang dada sambil menahan sakit. Dia mengiring untuk ambil pen di meja tepi katil. Sambil menitiskan air mata, Reza Rahadian menulis puisi itu dengan ejaan lama bahasa Indonesia.

“Jasmine, inilah yang jadi turning point dalam kehidupan Habibie. Sekarang Habibie dah diserap semangat reformasi. Habibie mahu generasi baru bangsa kita, bangsa Malaysia, jadi lebih baik daripada kita sekarang. Habibie tak percaya lagi pada generasi sekarang. Semuanya hancur! Dan yang dapat mengubahnya hanyalah generasi akan datang.”

Jasmine minum juga akhirnya air mata kucing yang dia pesan tadi. Entah si bombo jni boleh tangkap ataupun tidak apa yang aku cakapkan, aku tidak peduli.

Yang aku peduli sekarang, aku mahu jadi reformis seperti BJ Habibie. Aku mahu lahirkan generasi knowmad yang merdeka dan mandiri. Demikianlah perjuangan aku demi bangsa ini.

Jikalau BJ Habibie membawakan idea kapal terbang buatan anak bangsa, aku pun mahu membawakan sesuatu. Sudah sampai masanya bangsa kita jadi bangsa pencipta.

‘We Educate’

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi