019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Baru-baru ini, saya lihat banyak pertandingan filem pendek dianjurkan oleh pelbagai institusi, syarikat, dan organisasi. Tidak kurang juga pertandingan filem pendek yang dianjurkan oleh kelab-kelab, persatuan dan majlis perwakilan pelajar di pelbagai universiti. Ini merupakan petanda baik betapa industri filem ini sebenarnya mendapat sambutan di peringkat akar umbi lagi. Ia merupakan satu perkembangan sihat di dalam industri filem kerana masyarakat awam khususnya dapat memperlihatkan potensi dan bakat mereka, dan seterusnya menjadikan ‘talent pool’ penggiat filem Malaysia lebih besar. Tidak mustahil dengan fenomena ini, lebih ramai penggiat filem berkualiti berjaya dilahirkan walaupun mungkin mereka ini tidak mempunyai latar belakang pendidikan di dalam bidang perfileman.

Sudah 2 kali saya dijemput mewakili HAS Filmmaking Academy untuk menjadi juri pertandingan filem pendek anjuran universiti. Saya akui, bahawa saya juga sebenarnya masih mentah di dalam menghasilkan filem. Ini kerana saya sendiri masih lagi belum pernah menghasilkan filem pendek yang benar-benar memberikan impak kepada masyarakat. Walaubagaimanapun, pengalaman itu ada kerana saya sendiri bukan sahaja penggiat filem pendek indie, malah seorang individu yang suka menonton filem.

Pengalaman menjadi juri pertandingan filem pendek sampena cabaran digital FTSM, UKM.

Pengalaman menjadi juri pertandingan filem pendek sampena cabaran digital FTSM, UKM.

Mengikut pengalaman saya, peserta-peserta yang menyertai pertandingan filem pendek ini wajar dipuji kerana kesungguhan mereka menyertai pertandingan filem pendek yang dianjurkan. Bukan sahaja mereka sanggup memberikan komitmen dan tenaga untuk menghasilkan filem pendek, malah mereka menjadikan pertandingan tersebut satu medium menyampaikan mesej dan nilai yang dilihat sangat kritis. Tahniah diucapkan.

Walaubagaimanapun, kebanyakan daripada mereka, atau dengan lebih tepat, hampir semua peserta yang saya lihat terlepas pandang akan fundamental pembikinan filem itu sendiri dan perkara ini menjadikan filem pendek yang mereka hasilkan sangat-sangat tidak berkualiti, sehinggakan saya sendiri selaku juri tidak tahu apa yang ingin diulas. Apabila juri tidak tahu apa yang ingin diulas, bermakna hasil yang anda berikan sebenarnya sangat-sangat memenatkan untuk ditonton. *terpaksa tonton sampai habis kerana saya juri.

Oleh itu, saya ingin kongsikan 3 fundamental penghasilan filem pendek yang perlu anda fokus untuk beroleh kemenangan di dalam mana-mana pertandingan filem pendek peringkat amatur, mahupun profesional.

1. Filem pendek adalah sebuah cerita.

Filem pendek adalah sebuah cerita. Filem pendek yang menarik mempunyai cerita yang menarik. Semakin menarik cerita yang anda hasilkan, semakin diingati filem pendek anda di dalam memori para juri. Bagaimana ingin menghasilkan cerita yang menarik? Cerita yang menarik mempunyai struktur yang baik. Cerita yang menarik mempunyai permulaan, konflik, klimaks, dan penutup. Sama sahaja bagaimana anda ingin menceritakan sesuatu kepada rakan-rakan anda. Cerita yang menarik mesti mempunyai struktur yang lengkap. Ini contoh mudah perbezaaan 2 cerita yang berstruktur dan tidak berstruktur.

Contoh 1 : “Weh! Ko tau? Semalam aku pergi mendaki bukit. Giler bapak penat siot! Aku nyaris-nyaris terjatuh sebab kene tolak ko tau tak?”

Contoh 2 : “Weh! Ko tau? Semalam aku pergi mendaki bukit. Awal-awal aku steady je beb. Tapi biler nak masuk setengah jam, Ya Allah, mencungap aku. Dah lar laluan curam, lepas tu ada orang tolak aku hampir jatuh ke lereng bukit. Nasib baik aku sempat capai satu dahan pokok ni. Terus aku daki sampai ke puncak. Biler sampai, memang seronok! Walaupun penat, tetapi berbaloi sebab pemandangannya memang lawalah.”

Contoh 1 merupakan penyataan. Contoh kedua adalah cerita. Cerita yang baik ada permulaan, ada konflik, ada klimaks, dan akhirnya ada penutup yang baik. Struktur cerita juga akan menjadi intipati utama mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, mendaki bukit ini ibarat kejayaan hidup.

Ya, memang struktur ini membuatkan anda fikir yang filem pendek anda nampak ‘cliché’. Tetapi percayalah, struktur asas inilah yang menjadikan audien faham perjalanan cerita. Selain itu, struktur cerita yang baik akan membantu anda mengembangkan watak utama anda dengan baik dan sekaligus mencipta rumusan yang baik bagi watak utama yang anda cipta.

Selain itu, perjalanan watak utama anda merupakan asas cerita kepada filem pendek anda. Fokus kepada bagaimana ingin membina watak anda dari permulaan sehingga ke penutup. Watak perlu melalui semua fasa iaitu permulaan, kemudian konflik, klimaks dan seterusnya penutup. Watak yang berkembang dengan baik menandakan filem pendek anda mempunyai struktur yang baik.

Three-Act-Structure-780x400

2. Isu dan mesej.

Filem pendek merupakan sebuah medium untuk menyampaikan mesej yang baik. Cerita yang baik mempunyai sesuatu untuk dipelajari oleh penonton. Selain itu, sudah tentu juri yang baik sememangnya akan menekankan aspek mesej dan nilai yang ingin disampaikan oleh filem pendek anda. Mengikut pengalaman saya, terdapat beberapa orang peserta pertandingan, mempunyai mesej yang kritis untuk disampaikan. Mesej yang kritis ini menjadi satu mata kail yang akan membuatkan para juri dan penonton ingat akan filem pendek anda. Lebih-lebih lagi mesej yang disampaikan menyentuh isu-isu semasa dan isu sosial.

Filem pendek yang tidak mempunyai isu, mesej dan nilai murni merupakan satu filem pendek yang kosong. Apa guna filem pendek kalau bukan untuk bercerita tentang nilai dan mesej? Sejak dahulu lagi cerita merupakan satu medium pendidikan tidak kira melalui penulisan, atau melalui cerita dari mulut ke mulut dan lagu. Kesemuanya mesti mempunyai pengajaran. Lihat sahaja bagaimana Allah menyampaikan mesej dan nilai kepada kita melalui cerita-cerita Nabi dan umat terdahulu. Allah banyak menggunakan cerita. Tidakkah anda berfikir?

Terdapat beberapa filem pendek yang membuatkan saya teringat-ingat sehingga sekarang sepanjang saya menjadi juri. Ada yang menyentuh tentang penyakit kesihatan mental. Ada yang menyentuh isu cabaran yang dihadapi oleh golongan minoriti seperti khunsa, dan ada juga yang menyentuh isu kritikan sosial melalui filem pendek mereka. Penggiat filem seperti inilah yang kita mahukan untuk mendidik masyarakat.

3. Teknikal adalah yang terakhir.

Peralatan yang canggih, dan teknikal yang mantap di dalam menghasilkan filem pendek adalah yang terakhir di dalam pemilihan pemenang. Rata-rata peserta pertandingan filem pendek amatur mempunyai tahap kualiti teknikal yang rendah kerana tiada akses kepada peralatan yang canggih. Oleh itu, mereka hanya menghasilkan filem pendek dengan apa yang mereka ada sahaja. Selain itu, ilmu dan pengalaman mereka yang juga terhad di dalam aspek teknikal seperti tetapan kamera, atau cara sesebuah ‘shot’ diambil, rakaman audio yang betul, cara suntingan dan lain-lain menjadikan filem pendek mereka nampak buruk.

Oleh itu, kami selaku juri yang faham dengan situasi ini tidak akan mengambil berat tentang aspek teknikal penghasilan filem pendek anda semua. Walaupun anda mempunyai aspek teknikal yang hebat, tetapi lemah dan mengecewakan di dalam aspek penceritaan, anda tetap akan kalah dan perkara itu tidak akan menjadikan kami sebagai juri jatuh cinta dengan filem pendek anda. Walaubagaimanapun, aspek teknikal pasti akan diambil kira dan menjadi nilai tambah untuk terpilih sebagai pemenang jika semua filem pendek yang bertanding mempunyai cerita dan mesej yang sama hebat.

Setakat ini sahaja perkongsian saya yang mempunyai pengalaman di dalam menjadi juri. 3 perkara ini tidak patut dipandang ringan dan percayalah bahawa asas yang kukuh akan menjadikan filem pendek anda sebuah karya yang hebat dan memberikan manfaat. Saya bukanlah seorang penggiat filem yang terkenal dan hebat dan mungkin anda mempunyai pendapat sebaliknya. Walaubagaimanapun, saya berharap agar perkongsian ini akan membantu anda memenangi pertandingan filem pendek yang anda sertai. Anda sudahpun menjadi pemenang sekiranya perkara fundamental penghasilan filem pendek ini difahami dan dititikberatkan di dalam penghasilan filem pendek anda.

2

Menjadi juri membolehkan aku belajar juga daripada peserta kerana perspektif dan mesej yang dibawa oleh mereka.

5

Sesi ‘presentation’ oleh peserta selepas tayangan.

Pengalaman menjadi juri bersama penulis skrip Juvana, Alfie Palermo

Pengalaman menjadi juri bersama wakil Finas dan penulis skrip Juvana, Alfie Palermo. Tuan Alfie sangat menitikberatkan aspek perjalanan cerita semasa menjadi juri.

Sekian. Jom berikan pendapat anda di ruangan komen! Like dan share artikel ini kepada rakan-rakan anda agar manfaat artikel ini dapat disebarkan seluas-luasnya. Sebarang komen, kritikan dan cadangan penambahbaikan sangat dialu-alukan!

‘We Educate’
HAS Filmmaking Academy

Artikel ini disediakan oleh : Nazirul Haziq, CEO HAS Filmmaking Academy.

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi