019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Apa yang anda akan lakukan dalam hidup anda sekiranya diri anda kekal muda? Apa yang anda akan lakukan dengan segala tenaga dan segala peluang yang ada sebagai orang muda?

Persoalan itulah yang melanda fikiran saya apabila menonton filem The Age of Adaline. Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Adaline Marie Bowman yang lahir pada 1 Januari 1908 dan sesuatu telah berlaku dalam hidupnya pada usianya 29 tahun dan peristiwa itu telah membuatkan dia tidak menua sehingga sekarang.

Cerita ini menunjukkan bagaimana Adaline menghadapi hidupnya dan setiap dugaan dan cabaran yang dia hadapi sepanjang hidup dia. Bermula dengan kehilangan insan tersayang, melarikan diri dari FBI yang ingin melakukan sedikit ‘ujian’ ke atas dirinya,  anak perempuannya sudah tua. Sudah tentu konflik dalam percintaan di mana dia tidak boleh mengambil risiko untuk menceritakan keadaan dirinya pada orang asing.

Sepanjang hidup Adaline, dia telah melarikan diri dari semua masalah yang dihadapi. Setiap kali ada orang mula mempersoalkan rupa parasnya, dia lari. Apabila FBI datang mengambil dirinya, dia lari. Apabila dia menemui seorang lelaki yang bersedia untuk hidup bersamanya, dia lari.

Watak Adaline dalam cerita ini digambarkan sebagai seorang yang selalu melarikan diri bila dilanda masalah. Terlalu banyak kali melarikan diri sehingga dia tidak dapat menikmati hidup dia dengan bahagia. Semasa dia berkongsi masalah dengan anak perempuannya, anaknya berkata sekiranya dia mempunyai rupa paras dan tenaga muda ibunya, dia akan berhenti berlari, menikmati hidupnya dan melakukan apa sahaja untuk menikmati hidupnya.

Kemuncak cerita berlaku apabila rahsia dirinya terbongkar apabila bapa kekasihnya mengecam dia sebagai Adaline, perempuan yang pernah ditemuinya semasa tahun 1960-an. Adaline cuba menjelaskan keadaan dirinya dan sekali lagi dia merasakan orang sekeliling tidak akan memahami dirinya dan dia lari.

Putaran hidup yang sama dan tidak berkesudahan

Kisah Adaline bolehlah dikatakan sebagai gambaran kehidupan orang muda sekarang. Berbeza dengan Adaline yang memang kekal muda, orang muda sekarang merasakan hidup mereka muda selamanya dan membiarkan masa muda mereka berlalu begitu saja. Apabila berlaku masalah, tidak kira masalah itu berlaku akibat perbuatan diri sendiri atau orang lain, mereka akan melarikan diri dari masalah dan bukannya berhadapan dengan masalah. Adaline digambarkan sentiasa berada dalam putaran hidup yang sama setiap kali berhadapan dengan konflik disebabkan dia sentiasa muda.

Resolusi cerita ini juga menarik. Semasa Adaline dalam kereta selepas meninggalkan kekasihnya tanpa sebarang ucapan, dia berhenti seketika dan menelefon anaknya. Adaline memberitahu anaknya bahawa dia ingin berhenti berlari dan mula berhadapan dengan segala konflik yang ada. Sebaik sahaja dia memusingkan keretanya, keretanya dilanggar oleh trak. Babak ini seolah memberi gambaran bahawa hidup Adaline akan berubah lagi sekali.

Di penghujung cerita menunjukkan Adaline sedang bersiap ke satu majlis dan dia melihat terdapat satu helai rambutnya beruban. Pengakhiran cerita memberitahu bahawa apabila Adaline sudah mula menerima keadaan dirinya dan berlaku jujur, barulah dirinya kembali normal dan proses penuaan berjalan seperti biasa. Secara metafora, bila kita cuba kaitkan dengan diri kita, apabila kita selaku orang muda sudah mula berani dan jujur berhadapan dengan diri kita sendiri barulah kita akan membesar dan mula matang dalam kehidupan.

Pada pendapat saya, gaya penceritaan filem ini sangat menarik dan penjelasan saintifik yang cuba disampaikan juga mudah difahami (teori fungsi telomerase sebagai ‘fountain of youth’ masih lagi dalam kajian). Lakonan Blake Lively sebagai Adaline juga sangat berkesan. Sejujurnya Lively adalah sebab saya jatuh cinta dengan filem ini. Bagi saya, sebuah karya yang boleh membuatkan seseorang berfikir lebih daripada itu adalah karya yang baik dan wajar disebut-sebut.

We Educate

HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi