019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Nota editor : Reviu ini ditulis oleh saudara Fathi Saiful, salah seorang mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Keizinan telah diberi sebelum disiarkan di website. 

 

Tak banyak filem yang berjaya memperbetulkan salah tanggap penonton (khususnya masyarakat Malaysia) terhadap bidang kewartawanan. Spotlight antara filem yang berjaya membina persepsi bahawa ‘Journalism’ bukan sekadar membaca berita sahaja.

 

Filem ini merupakan adaptasi kisah benar yang berlaku di era awal tahun 2000. Ianya menceritakan bagaimana kumpulan wartawan daripada The Globe yang menyiasat dan mendedahkan skandal gangguan seksual terhadap kanak-kanak oleh paderi Roman Katolik di Boston, United States (US). Kumpulan wartawan penyiasat tersebut telah berjaya memenangi anugerah Pulitzer Prize for Public Service.

 

Plot filem dimulai dengan ibu kepada seorang kanak-kanak membuat laporan polis terhadap paderi yang telah melakukan kelakuan yang dianggap sebagai gangguan seksual terhadap anaknya. Apabila pegawai atasan polis yang bertugas terhadap laporan tersebut datang, dia telah memberi arahan untuk tidak membenarkan mana-mana wartawan ataupun orang luar untuk mengetahui hal tersebut.

 

The Globe, yang merupakan antara surat khabar yang berpengaruh ketika itu, telah menerima ketua editor yang baru, Marty Baron. Baron telah berjumpa dengan kumpulan wartawan penyiasat (Spotlight), yang dianggotai oleh Robby, Michael Rezendes, Sacha Pfeiffer, Ben Bradley dan Matt Carroll. Baron mengarahkan Spotlight untuk menyiasat perkara tersebut seteleh membaca kolum di Globe mengenai Mitchell Garabedian, seorang peguam yang telah mengkritik Cardinal Bernand Law, Arcbishop of Boston. Cardinal Law tahu mengenai seorang paderi di bawahnya yang telah melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak, tetapi dia tak berbuat apa-apa untuk menghalang perkara tersebut.

 

Walaupun Garabedian tidak mahu untuk ditemu bual oleh Rezendes, Spotlight telah berjaya membongkar corak gangguan seksual terhadap kanak-kanak oleh Paderi Katolik. Phil Saviano, yang mengetuai sebuah organisasi yang memperjuangkan hak mangsa gangguan seksual kanak-kanak oleh Paderi, SNAP telah mendedahkan sebanyak 13 nama Paderi yang terlibat dalam isu tersebut. Spotlight juga berjaya menghubungi Richard Sipe, seorang bekas paderi yang menawarkan khidmat pemulihan untuk Paderi yang terlibat dalam hal itu. Sipe menganggarkan sebanyak 90 paderi terlibat dalam kes yang berlainan.

 

Selepas kes serangan 11 November, Garabedian membongkarkan kepada Rezendes bahawa terdapat beberapa fail mahkamah yang boleh untuk diakses mengenai Cardinal Law. Dalam fail tersebut, Cardinal tahu bahawa terdapat beberapa Paderi yang didakwa atas perkara tersebut tetapi Cardinal mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa terhadap mereka. Kejayaan The Globe dalam kes mahkamah yang difailkan oleh mereka untuk mengakses lebih banyak dokumen mengenai isu gangguan seksual oleh paderi telah menyediakan Spotlight dengan lebih banyak bukti yang kukuh.

 

Akhirnya, pada awal tahun 2002, Spotlight telah menerbitkan artikel pertama mereka mengenai perkara tersebut. Pada pagi keluaran artikel tersebut, Spotlight telah dihujani dengan banyak panggilan telefon daripada mangsa. Kejayaan Spotlight untuk membongkar isu ini telah berjaya untuk memberikan semula hak mangsa-mangsa tersebut.

 

Analisis Filem

1. Semangat Kewartawanan

Dalam filem ini, antara perkara yang sering ditonjolkan adalah bagaimana mahu menjadi seorang wartawan yang berani, telus dan adil. Dalam filem ini, Baron selaku ketua editor telah menjalankan tugasnya dengan baik – melaporkan dan mendedahkan kepada masyarakat tentang kebobrokan sistem yang sedia ada. Spotlight telah berjaya memberikan semula hak mangsa-mangsa yang teraniaya oleh golongan paderi yang pedophile.

 

Selain itu juga, filem ini juga mengajar kepada kita tentang tugas hakiki wartawan yang kurang diamalkan oleh media arus perdana di negara kita – mendedahkan isu-isu yang besar di dalam negara. Sebagai contoh, isu ketirisan dalam pemerintahan negara sepatutnya didedahkan sendiri oleh media. Namun, apa yang kita lihat bahawa media arus perdana di negara kita hanya menjadi alat propaganda sesetengah pihak dan tidak menyumbang kepada proses pembinaan negara. Di Malaysia, kebanyakan isu Negara didedahkan oleh Ahli Politik sendiri yang dikira mempunyai kepentingan tertentu dalam sesuatu isu.

 

Apabila Spotlight sudah mendapat bukti bahawa Cardinal tidah mengendahkan aduan mengenai Geoghan, Baron mengarahkan Spotlight untuk mendapatkan lebih banyak bukti mengenai penyelewengan yang berlaku dalam gereja. Baron mengarahkan Spotlight untuk menggunakan pendekatan untuk memperbetulkan sistem yang sedia ada daripada menghukum Cardinal sahaja. Alasan Baron, pergaduhan antara The Globe dan Gereja tak akan mendatangkan apa-apa faedah. Spotlight perlu mancari jalan untuk mendesak Gereja memperbetulkan system dan polisi mereka.

 

Pendekatan Baron merupakan pendekatan yang terbaik dalam hal ini. Menghukum seorang sahaja pesalah, tetapi membiarkan pesalah lain dibiarkan dan sistem dan polisi yang sama tetap tidak akan memperbetulkan apa-apa. Malah, ianya hanya sandiwara tanpa apa-apa faedah. Seharusnya, sistem dan polisi harus berubah jika sesuatu organisasi itu sudah rosak.

 

2. Pedophile

Masalah jenayah pedophile, atau dalam maksud lain melakukan gangguan seksual atau memberi rangsangan kepada kanak-kanak bawah umur merupakan suatu perkara yang tidak boleh dimaafkan. Dalam filem ini, corak yang dapat dikesan oleh Spotlight ialah paderi yang melakukan jenayah tersebut kebiasaannya akan melakukannya kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah keluarga. Kebanyakan kanak-kanak akan berasa takut untuk melaporkan apa yang terjadi atas sebab-sebab tertentu.

 

Di Malaysia, pengenalan kepada Pendidikan Seks kepada kanak-kanak harus dikuatkuasakan oleh pihak berwajib. Hal ini kerana, kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa tidak tahu bahawa dia sedang dicabul sehinggalah ibu bapa atau orang lain yang bertanyakan perihal tersebut. Saringan personality terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan jenayah pedophile juga harus diperkenalkan oleh pihak berwajib agar mereka yang terlibat tidak lagi mempunyai peluang untuk melakukan jenayah tersebut.

 

We Educate

HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi