019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Alhamdulillah, pada 12 November 2016, saya dijemput untuk menjadi panelis bagi sebuah forum Slot Dakwah Selebriti sampena Minggu Da`ie yang menampilkan panelis lain yang sangat hebat seperti Adam Corrie dan juga Imam Muda Hassan, serta Moderator Zainal Hakim. Agak lama juga saya memikirkan untuk menerima tawaran ini atau tidak kerana saya sendiri telah lama tidak menyentuh topik dakwah di dalam skop “personal branding” saya dan juga HAS Filmmaking Academy. Ini kerana pendekatan HAS Filmmaking Academy sangat berbeza dengan zaman Hamasah As-syabab yang diterajui oleh Afiq Sazlan yang mana kami lebih menekankan jenama video Islamik pada masa itu. Walaubagaimanapun, HAS Filmmaking Academy kini bukanlah mengabaikan tanggungjawab di dalam menyampaikan dakwah, cuma cara penyampaiannya sahaja berbeza yang mana saya akan jelaskan di dalam jawapan yang saya berikan kepada audien semasa disoal oleh Tuan Moderator.

15025627_1406941352664510_6646031860870942199_o

Kali terakhir dijemput untuk menjadi panelis forum juga di USIM pada tahun 2014.

Artikel ini adalah untuk menjelaskan semula tentang peranan HAS Filmmaking Academy dalam dunia dakwah secara keseluruhannya. Oleh kerana masa agak singkat, sesi forum hanya dibuka sebanyak 2 pusingan dan tiada sesi Q&A yang diberikan kepada pihak penonton.

SOALAN 1 : HAS Filmmaking Academy pernah menganjurkan program dakwah?

Sekiranya program dakwah secara literal, ini bermakna tidak. Kami tidak pernah menganjurkan program dakwah secara literal dan terang-terangan sebagai contoh Bengkel Video Dakwah, atau Sesi Talk Dakwah Media dan lain-lain yang seumpamanya. Tiada terma-terma dakwah atau islamik yang ditonjolkan oleh HAS Filmmaking Academy dalam membina jenama kami sebagai sebuah akademi filem. Sekiranya anda semua melihat visi yang kami tetapkan, matlamat kami adalah mendidik masyarakat melalui filem dan melahirkan pengkarya filem yang mendidik masyarakat. Kami menggunakan pendekatan “filem yang mendidik” dan bukan “filem dakwah”. Mengapa?

Pendekatan ini akan membina ‘follower’ yang berbeza, dan seterusnya membina komuniti yang berbeza. Pendekatan melalui terma dakwah akan membataskan usaha kami untuk membina sebuah komuniti yang mempunyai kepelbagaian dari pelbagai agama, bangsa, latar belakang, dan pelbagai aspek. Sekiranya pendekatan dakwah digunakan, kami hanya akan membina sebuah komuniti ‘islamik’ dan secara tidak langsung membina sebuah jurang di antara kami dan juga komuniti lain seperti non-muslim dan komuniti-komuniti seni yang lain.

Prinsip kami dalam meraikan semua orang menjadikan setiap daripada program dan acara yang dianjurkan tidak mempunyai unsur-unsur yang membataskan program dan acara kami hanya untuk golongan yang menyukai industri islamik sahaja. HAS Film Fest, HAS CInema dan HAS Meetup juga tidak ditukar kepada HAS Islamic Film Fest dan lain-lain yang seumpama dengannya. Walaubagaimanapun, adakah prinsip asas sebagai seorang Muslim dalam penghasilan karya dan penganjuran bengkel serta program diabaikan?

Tidak sama sekali.

Prinsip asas sebagai seorang Muslim tetap dijaga dan ianya tidak perlu dibahaskan lagi. Semua ini sebenarnya adalah program dakwah yang dianjurkan oleh HAS Filmmaking Academy walaupun tiada perkataan “islam” atau “dakwah” atau “dai`e” yang tertulis di dalam poster. Ini kerana penganjuran program dan bengkel yang kami jalankan ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah platform untuk mendekati remaja, belia dan masyarakat dan ianya juga adalah sebuah platfrom untuk mengajak mereka menyertai gerakan dalam mendidik masyarakat melalui filem! Ini adalah dakwah kami! Bukan sekadar membuat filem, tetapi mendekati masyarakat melalui platform filem! Bukan sahaja menganjurkan bengkel dan program yang bersifat sekali lalu, malah mempunyai sistem ‘follow-up’ seperti menjayakan projek filem pendek bersama akademi, atau perkongsian tidak formal melalui perjumpaan dan lepak-lepak serta banyak lagi. Semua ini adalah untuk meraikan dan melahirkan pengkarya filem yang berkualiti yang akhirnya akan memberikan sumbang bakti kepada masyarakat melalui filem yang mendidik.

Apa yang penting adalah “engagement” terhadap peserta! Itulah yang dititikberatkan oleh kami dalam setiap penganjuran bengkel dan program. Berkenal-kenalan dan berukhwah dengan semua orang agar sebuah komuniti peminat filem dan pengkaraya filem yang sihat dan berkualiti dapat dibina.

Festival Filem HAS adalah sebuah acara dan program HAS yang paling gempak!

Festival Filem HAS adalah sebuah acara dan program HAS yang paling gempak!

SOALAN 2 : Apakah elemen yang penting dalam menghasilkan sebuah filem dakwah?

Apabila kita berbincang tentang penghasilan filem, sudah tentu kita perlu lihat kepada fundamental penghasilan filem itu sendiri. Filem adalah sebuah cerita. Boleh rujuk di sini untuk membaca artikel tentang fundamental penghasilan filem. Filem yang  baik mempunyai cerita yang menarik. Cerita yang menarik juga bergantung kepada penyampaian yang menarik. Oleh itu, jika kita ingin menghasilkan filem dakwah yang baik, sudah tentu filem dakwah perlu mempunyai cerita yang menarik dan memberikan impak di dalam pembinaan diri sebagai seorang Muslim. Ya! Semuanya bergantung kepada cerita. Cerita yang menarik, akan memberikan impak kepada penonton.

Oleh itu, perlu diingat semula bahawa filem dakwah yang memberikan impak mempunyai CERITA yang memberikan kesan  kepada penonton. Jadi, penggunaan ayat Al-Quran dan lagu Nasyid bukanlah KUNCI UTAMA kepada penghasilan filem dakwah yang memberikan impak sebaliknya CERITA. Cerita yang tidak menarik tidak akan menjadi menarik dengan meletakkan ayat Al-Quran di bahagian kredit. Penggunaan ayat Al-Quran tidak semestinya akan meninggalkan kesan dan impresi yang mendalam kepada penonton. Walaubagaimanapun, jalan cerita yang menarik, akan memberikan kesan yang mendalam dan sebaliknya membuatkan penonton lebih mengingati dan menghayati Al-Quran itu sendiri!

Mengapa aspek cerita sangat penting? Lihat sahaja sirah-sirah yang Allah sendiri ceritakan kepada kita. Lihat betapa unik dan indah Kisah Nabi Yusuf! Kisah Nabi Yusuf merupakan salah satu cerita yang menarik Allah berikan kepada kita tidak kira dari sudut struktur, mahupun dari sudut mesej. Lihat, betapa Allah ingin mengajar kita bukan dengan ayat semata-mata, tetapi dengan sebuah cerita yang memberikan impak.

Lihat juga iklan Thailand dan Iklan Petronas. Anda juga tahu bahawa iklan-iklan mereka banyak meninggalkan impresi dan impak yang mendalam. Itulah filem dakwah yang kita mahukan. Mungkin banyak yang boleh diperbaiki dari sudut pemakaian dan lain-lain. Cuma kali ini, kita ingin belajar tentang bagaimana membina sebuah cerita yang memberikan impak! Apa guna letak ayat Al-Quran sekiranya cerita yang kita hasilkan gagal memberikan impresi dan impak kepada penonton?

KUNCI UTAMA PENGHASILAN FILEM DAKWAH YANG BAIK ADALAH CERITA! Atau SKRIP!

SOALAN 3 : Kata-kata terakhir?

Dakwah bukan terletak pada nama program, sebaliknya intipati program yang ingin anda anjurkan. Dakwah juga bukan terletak kepada ayat Al-Quran dan lagu Nasyid yang anda masukkan dalam penghasilan filem pendek dan video sebaliknya dakwah terletak di dalam mesej dan ‘rasa’ yang ingin disampaikan melalui filem pendek dan video yang anda hasilkan.

Berikan diri anda matlamat untuk anda maksimakan potensi diri! Dengan memaksimakan potensi diri, anda akan mula berfikir dan menetapkan bagaimana untuk anda menyumbang tenaga anda dalam bidang dakwah di Malaysia. Itulah yang cuba dibawa oleh HAS sejak penubuhannya lagi. Afiq Sazlan (pengasas Hamasah As-syabab) banyak menekankan aspek potensi diri kerana percayalah, sekiranya anda tahu untuk memaksimakan potensi diri anda, anda mampu menjadi khalifah dalam segala bidang yang anda ingin ceburi.

Itu sahaja perkongsian daripada saya. Saya harap, sedikit sebanyak membantu anda semua memahami HAS Filmmaking Academy dengan lebih mendalam. Sekiranya terdapat cadangan, kritikan dan persoalan, boleh ajukan kepada saya samada melalui laman web, atau melalui facebook dan lain-lain media sosial. Diharapkan artikel ini juga dapat membantu membuka mata anda tentang initiatif dakwah yang kami pegang selama ini! Kami ingin menjadi khalifah di dalam bidang perfileman. Perkara itu tidak berubah dari dahulu sehingga kini! Sekiranya mahukan pencerahan lanjut, boleh hubungi kami dan kita akan berbincang tentang perkara ini sambil minum teh ais atau extra joss susu.

Jom bersama-sama kami mendidik masyarakat melalui filem, dan melahirkan pengkarya filem yang mendidik masyarakat!

‘We Educate’
HAS Filmmaking Academy

Artikel ditulis oleh : Muhammad Nazirul Haziq bin Mahadzir | CEO HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi