019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Alhamdulillah, pada 17 Oktober 2016 yang lalu, kami diberi peluang selama 1 sesi (1 jam) untuk berjumpa dengan Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sesi perjumpaan selama sejam secara peribadi ini diatur di pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Pada awalnya, rasa gugup sememangnya dirasai oleh kami kerana ini bukannya perjumpaan bersama klien seperti biasa di kedai mamak untuk servis filem pendek atau video iklan. Individu yang kami jumpa ini adalah individu yang mempunyai semangat kenegaraan yang sangat tinggi, malah sangat dihormati kerana jasanya dalam memimpin negara sepanjang pemerintahannya. Walaupun mungkin ramai di antara kita mempunyai pandangan politik yang berbeza dengan beliau, tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan beliau terhadap negara sangat besar. Auranya juga sangat hebat!

Tun Dr. Mahathir

Kekal sihat dan bertenaga terutama semasa berbincang tentang negara!

Walaubagaimanapun, setelah mula berbual dengan beliau, kami dapati bahawa beliau ini seorang yang sangat mesra dan pandai berjenaka! Secara tidak langsung, rasa gugup kami hilang. Melalui perbualan dengan beliau, banyak yang dapat kami pelajari dan berikut merupakan 3 perkara yang kami ingin kongsikan kepada anda semua!

1. Penyakit orang Melayu pada masa dahulu adalah tiada keyakinan diri.
Menurut perbualan kami dengan Tun, beliau pernah hidup dalam 6 zaman pemerintahan iaitu :

  1. Pemerintahan British
  2. Pemerintahan Jepun
  3. Pemerintahan Thailand (Jepun memberikan Kedah kepada Thailand kerana memberi laluan untuk menyerang Tanah Melayu),
  4. Pentadibiran oleh British Military Administration (selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua)
  5. Pentadibiran oleh British Civil Administration.
  6. Zaman kemerdekaan.

Menurut Tun, orang Melayu pada masa dahulu tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Ini kerana, mereka melihat bahawa ‘orang putih’ merupakan bangsa yang lebih kaya, dan berkemampuan dalam semua bidang. Oleh sebab itu, orang Melayu hanya menyerahkan urusan pentadbiran negara kepada British. Hal ini demikian kerana, orang Melayu tidak yakin dengan kemampuan diri untuk memerintah negara sendiri sehinggalah Malayan Union mula diusulkan. Apabila orang Melayu  sedar bahawa negara hampir tergadai, barulah mereka bangkit untuk membela hak dan menuntut kemerdekaan.

2. Pekerja yang rajin dan amanah lebih berkuasa ke atas majikan.
Tun menjelaskan bahawa kita mampu menguasai majikan kita sekiranya kita menjadi pekerja yang amanah, rajin dan penting kepada majikan. Ini kerana majikan sangat bergantung kepada pekerja yang amanah dan rajin bekerja. Perkara ini mungkin boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza.

Sekiranya kita menjadi pekerja yang sangat rajin dan amanah, kita akan diberikan gaji, dan hadiah yang lumayan. Majikan akan mula bergantung kepada kita kerana kita merupakan pekerja yang berharga buat majikan. Secara tidak langsung, pekerja lebih berkuasa terhadap majikan. Ini merupakan salah satu cara untuk menjadi pekerja yang berjaya. Walaubagaimanapun, Tun juga menerangkan bahawa perkara ini juga menjadi sebab mengapa Malaysia akan dijajah oleh orang luar secara tidak langsung. Lihat sahaja kemasukan hampir 7 juta pekerja asing ke dalam Malaysia. Kebergantungan Malaysia terhadap tenaga kerja dari luar menyebabkan semakin lama, kita semakin bergantung kepada mereka untuk menggerakkan ekonomi kita. Siapa yang ingin melakukan kerja-kerja kuli dan buruh jika bukan mereka? Bukankah lebih baik bergantung kepada bangsa dan rakyat sendiri berbanding bergantung kepada tenaga buruh dari luar negara?

Ini berbeza dengan apa yang berlaku di Jepun. Tun menceritakan bahawa sangat jarang untuk melihat orang dari luar bekerja di dalam negara mereka walaupun pekerjaan di peringkat pelayan. Kurangnya kebergantungan terhadap pekerja dari luar negara akan mengukuhkan lagi ekonomi orang Jepun dan seterusnya meningkatkan lagi gaji pekerja di Jepun walaupun hanya di peringkat pelayan.

Mengapa ini terjadi? Ini semua berpunca kerana kita bersikap memilih untuk mencari kerja. Peluang kerja sangat banyak. Jika tidak, mengapa kita perlu import pekerja?

3. Ilmu memang penting, tetapi yang lebih penting adalah pegangan kita terhadap nilai hidup yang mulia.
Orang Malaysia bukan tidak pandai. Cuma pegangan kita terhadap nilai hidup yang mulia tidak kuat. Tun menceritakan pengalaman beliau bekerja sebagai Menteri MITI di Jalan Duta suatu ketika dahulu. Ada staf di sana yang balik ke rumah seawal pukul 3 hanya kerana ingin mengelakkan diri dari kesesakan jalan raya. “Bayangkan, kita bayar gaji pekerja sehingga pukul 5, tetapi pulang ke rumah awal 2 jam. Saya sendiri pergi dan pulang dari kerja menggunakan sistem “punch card” dan kebiasaanya, saya balik lambat setengah jam, sehinggakan staf yang bekerja dengan saya malu untuk pulang ke rumah awal apabila melihat saya sendiri tidak pulang-pulang ke rumah”, jelas Tun.

Tapi itu dulu lar. . la ni saya dah tak punch card dah. Dah tua asyik lewat. – Tun Dr. Mahathir Mohamad

Ini sangat berbeza dengan budaya orang Jepun yang mana, sekiranya mereka masuk kerja pada pukul 8 pagi, mereka akan sampai awal 30 minit untuk membuat perbincangan target bekerja pada hari tersebut. Apa yang ingin dicapai pada hari tersebut. Kemudian, mereka akan membersihkan dan mengemas tempat kerja mereka untuk memudahkan mereka bekerja apabila sampai waktunya. Mereka juga akan pulang lewat untuk menyediakan persiapan bekerja pada esok hari.

Tun juga menceritakan tentang perangai kita sendiri yang tidak berpegang kepada nilai hidup yang mulia. Bayangkan pekerja di restoran pandai mencuri. Bukan mencuri wang atau barangan yang mahal, tetapi mencuri barangan kecil seperti paket sos dan lain-lain. Mencuri kerana mereka boleh mencuri. Di mana pegangan hidup kita? Bagaimana kita ingin maju? Adakah tidak mengapa untuk mencuri barangan yang dianggap kecil dan remeh itu?

Nasihat Tun kepada kami dan rakyat Malaysia di luar sana?

Jadikan bangsa Cina sebagai contoh. Pada zaman dahulu, mereka ini juga membuat kerja-kerja buruh. Tun menceritakan pada masa dahulu, ramai orang Cina bekerja sebagai penarik lanca. Sekarang? Lihat sahaja cucu-cucu mereka. Adakah mereka ingin menjadi pemandu kereta kita lagi? Kita boleh marah mereka, tetapi kita kene terima hakikat sekiranya kita ini tidak mahu bersungguh-sungguh dan berkorban, kita tidak akan mampu mengecapi kejayaan. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang rajin. Sama juga dengan semua bangsa-bangsa lain di dunia ini. Sekiranya mereka rajin, mereka akan berjaya. Rajin dan buatlah kerja dengan bersungguh-sungguh. Kita akan mendapat ganjaran yang lebih besar pada masa akan datang.

Terima kasih Tun kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Bagaimana dengan anda semua? Apa pendapat anda tentang artikel ini? Segala pendapat, kritikan dan cadangan penambahbaikan boleh dibuat di ruangan komen atau hubungi kami melalui web page ‘Contact Us’ di laman web kami!

Jom bersama-sama kami mendidik masyarakat!

‘We Educate’
HAS Filmmaking Academy

Artikel ditulis oleh : Nazirul Haziq | CEO HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi