019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Nota Editor : Artikel ini adalah hasil tulisan Inche Faris di laman Facebook. Kami telah memperoleh keizinan daripada beliau untuk disiarkan di sini.

Pertamanya, izinkan saya kongsi sedikit mesej yang saya dapat daripada filem Moana.

Apa yang saya belajar dari filem ini adalah, keberanian dan perjuangan seorang anak gadis dari Pulau Matanoui yang telah terpilih untuk menyelamatkan pulaunya yang bakal hancur, meskipun pada awalnya dia menyalahkan takdir kerana dia tidak mampu untuk teruskan perjuangan.

Dia rasa, dia bukanlah orang yang tepat untuk menyelamatkan pulaunya kerana merasakan bebanan perjuangan itu terlalu berat bagi seorang manusia. Namun akhirnya, dia kembali sedar bahwa dia sudah separuh jalan dan dia tidak akan berpatah balik dengan tangan kosong. Dia harus teruskan perjuangan meskipun tiada jaminan dia akan hidup setelah itu.

Ini membuatkan saya terfikir dan termenung seketika, dan menjawab persoalan yang selama ini bermain di benak fikiran.

“ Mengapakah dalam ramai manusia, aku antara yang terpilih untuk menggalas tugas sebagai seorang penyampai risalah islam? “
kerana saya tahu, cabaran-cabaran dan liku jalan seorang pendakwah itu tentunya menuntut kesabaran dan keberanian yang tinggi untuk menghadapinya. Apatah bagi seorang manusia yang ada had pada kudratnya.

Saya membesar dengan didikan AlQuran dan As-Sunnah serta filem-filem kartun yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan, terutama filem dari Disney dan Dreamworks.

Sebagai contoh, filem Finding Nemo mengajar saya erti perjuangan seorang ayah menghadapi segala rintangan yang hebat demi menyelamatkan anaknya yang ditangkap dan disimpan di dalam akuarium.

Filem Kung Fu Panda 3 menceritakan bahwa ilmu itu seharusnya diwariskan kepada generasi-generasi yang seterusnya, bukan sahaja diri sendiri yang menjadi hebat bahkan mengajak yang lain juga untuk menjadi hebat.

Filem Toy Story ingin menyampaikan suatu mesej yang amat indah, dimana kita harus setia kepada tuan yang menjaga kita walaupun satu hari nanti kita tahu, dia akan pergi meninggalkan kita kepada tuan yang baharu untuk menjaga kita pula.

Filem Lion King memberitahu bahwa kita mesti sedaya mungkin menumbangkan pemerintah yang zalim dan menindas rakyat, walaupun kita sedar kita tidaklah punya kekuatan seperti kekuatan yang dimiliki oleh pemerintah tersebut.

Jika ingin senaraikan satu persatu, jenuh tangan untuk menulisnya. Disamping tidak mengabaikan sumber utama rujukan muslim iaitu AlQuran dan As-Sunnah – bahkan terlalu banyak ajaran-ajaran dan nilai-nilai Islam yang tersurat dan tersirat di dalam filem-filem tersebut.

HUBUNGAN ANTARA FILEM-FILEM BARAT DAN KONSPIRASI-KONSPIRASI YAHUDI, KEDATANGAN DAJJAL DAN TEORI-TEORI BUKAN ISLAMIK.

Sebenarnya, waktu saya menonton filem Moana ini dari awal hingga ke akhirnya, tidak pernah terdetik pun untuk fikir tentang fakta-fakta Dajjal atau yang berkaitan. Saya letakkan mindset : Harus sedaya upaya cari mesej-mesej positif dan membina diri yang ingin disampaikan oleh filem ini.

Tetapi bila ada sahabat yang tag saya pada entri yang menulis tentang filem Moana dan kaitannya dengan kedatangan Dajjal, saya mula terfikir tentang perkara ini.

Saya memuji usaha penulis untuk menyampaikan mesej Dajjal yang tersirat di dalam filem ini, dengan besertakan dalil-dalil sebagai hujah yang kukuh. Entri yang baik untuk dibaca dan direnungkan.

Cumanya, Moana bukanlah satu-satunya yang filem yang mungkin ada babak dalam filem ini yang berkaitan dengan Dajjal. Ada banyak lagi filem-filem barat yang mungkin ada membawa mesej yang serupa.

Pada pandangan saya, penulisan seperti ini mungkin akan membuatkan orang awam rasa bersalah untuk menontonnya, dan apabila anak-anak mereka yang tidak tahu apa-apa itu hendak menonton, mereka akan dimomokkan dengan fakta-fakta tentang kedatangan Dajjal dan sebagainya.

Sedangkan, mesej utama disebalik filem ini sangat baik untuk diaplikasikan di dalam kehidupan seharian sebagai seorang manusia yang mempunyai matlamat tersendiri untuk diperjuangkan.

Sama juga seperti golongan yang mencari perkara-perkara tersembunyi di dalam filem-filem kartun seperti ada gambar perempuan yang tidak berpakaian dan bentuk atau simbol-simbol pelik yang kemudiannya dikaitkan dengan teori itu dan konspirasi ini.

Penat tu, mengkaji dalam-dalam hingga akhirnya terabai mesej utama yang hendak disampaikan oleh filem-filem tersebut.

Sedangkan, bila mereka tidak kaji, tiadalah manusia lainnya sibuk mencari perkara yang sama di dalam fiem yang mereka tonton. Kita akan tonton filem itu seperti biasa, dan tidak sibuk mencari imej tersembunyi di sebalik karakter-karakter yang ada. Sebab kita tahu, ia hanya membuang masa.

Jadi golongan mana yang rugi?

Yang mendapat manfaat dari filem melalui mesej-mesej murni yang hendak ia sampaikan,

atau yang sibuk mencari teori dan konspirasi negatif (bukan yang Dajjal) di dalam filem itu?

. . .

Ada beberapa perkara yang saya ingin kongsikan:

1) Adakah setelah menonton filem ini, iman kita akan tergugat dan kita bakal menjadi pengikut Dajjal?

Tidak. Saya dapati iman saya tidak tergugat ketika dan setelah menonton filem ini, malah saya menjadi semakin berani dan bersemangat untuk menempuh hari-hari yang akan datang – disebabkan oleh powerful message dalam filem ini yang hampir menitiskan air mata saya.

Kelakar sebab ada komen berbunyi : “Banyak filem barat yang memesongkan aqidah sekarang ni.”

2) Wajarkah kita menggelar orang yang kurang bersetuju dengan artikel Moana dan kaitannya dengan Dajjal dengan gelaran “mereka inilah yang senang-senang nanti jadi pengikut Dajjal”

Tidak. Sama sekali tidak wajar.

3) Tidak salah untuk penulis memberikan dalil-dalil tentang Dajjal yang mungkin berkaitan dengan filem Moana ini, namun untuk memburukkan imej filem ini seperti ingin memberitahu orang ramai untuk tidak menontonnya – bagi saya adalah kurang wajar kerana masih ada mesej-mesej baik dalam filem ini yang boleh dijadikan pembakar semangat atau katalis (pemangkin) keberanian.

Dan sesuai untuk dibedah dan dikongsikan bersama orang ramai, terutama golongan pendakwah.

4) Maui dan Moana sebenarnya adalah karakter mitos kaum Hawaii yang sememangnya berambut kerinting. Ia adalah kepercayaan kaum Hawaii suatu ketika dahulu, dan mungkin masih ada yang mempercayainya sekarang. Dan filem ini adalah adaptasi dari kepercayaan itu, namun pengarah filem tidak meminta untuk kita percaya kepercayaan itu, akan tetapi percaya dengan diri sendiri yang boleh melakukan pelbagai keajaiban untuk mengubah dunia menjadi yang lebih baik.

5) Kadang-kala, tidak semua perkara yang kita rasa ‘pelik’, kita perlu kaitkan dengan konspirasi Dajjal atau yang seumpama. Cukuplah kita menjadi seorang manusia yang ingin mencari nilai-nilai baik dari setiap perkara yang kita dengar/lihat/jumpa.

6) Penulis juga harus mengkritik sebahagian filem-filem melayu yang dihasilkan oleh orang islam sendiri, yang sebenarnya menjadi fitnah besar kepada agama yang suci ini.

Filem-filem orang melayu, kebanyakkannya menceritakan tentang tanda-tanda akhir zaman seperti pergaulan bebas, derhaka kepada orang tua, maksiat yang bermaharajalela, bahkan cinta-cinta yang disembunyikan disebalik imej-imej islamik yang kita rasa islamik dan tidak salah.

Bahkan jika hendak dibandingkan dengan filem Moana yang ‘membawa mesej Dajjal’ ini, tentunya saya akan memilih filem Moana kerana sarat dengan nilai-nilai murni berbanding kebanyakkan filem Malaysia (Jangan kata saya tidak menyokong karya orang tempatan pula)

7) Ini saya petik dari penulisan saudara Fuad Syazwan Ramli (saya lebih dekat dengan penulisan ini):

“ Watak Maui di dalam filem Moana tidak menyelamatkan dunia. Bahkan Maui bodoh dan tak berdayapun. Kebolehannya sekadar dongengan. Moana, seorang manusia sendirilah yang akhirnya menyelamatkan umat manusia. Bukan dengan mengalahkan ‘kejahatan’, tetapi memahami apa itu kejahatan.

Te-Ka bukanlah sejahat yang disangka. Ia cuma disalahsangka. Te-Ka adalah gunung berapi yang menghancurkan kehidupan di mana saja ia mengalir. Tapi akhirnya ia jugalah yang menghadiahkan tanah yang subur untuk manusia. Dan Moana berjaya memahami hakikat ini.

Semua nak kait dengan Dajal susah jugak.”

Untuk dijadikan kesimpulan, kita semua tahu akan kebenaran Dajjal dan kedatangannya kepada umat manusia. Saya tidak menyokong sepenuhnya penulisan tersebut, tidak pula menolak sepenuhnya.

Cumanya apabila penulis seakan-akan menghalang orang ramai dari menontonnya kerana ‘mesej Dajjal’ yang dia sendiri nampak, tidak sepatutnya begitu.

Bahkan di dalam filem ini, nilai keberanian itu seharusnya kita ambil agar suatu hari nanti kita benar-benar berani memperjuangkan kebenaran dan menentang Dajjal.

Kita adalah umat yang berfikir, jadi kita sendiri tahu untuk ambil mesej-mesej positif dalam setiap filem yang kita tonton.

Bagi mereka yang hendak mengkaji tentang Dajjal dan fitnahnya kepada umat manusia, tidak perlu pun untuk mencari filem-filem yang kita rasa ada kaitan dengannya.

Cuba mendalami 4 kisah di dalam surah Al-Kahf yang kita baca setiap Jumaat untuk elakkan diri dari fitnah Dajjal – kerana pada setiap kisah itu: Kisah pemuda Kahf, Kisah pemilik kebun, kisah Nabi Musa dan khidr serta Kisah pemerintahan Zulqarnain – ada kaitannya dengan fitnah Dajjal.

Yang jujur menulis,
Faris Akmal.
Peminat setia filem-filem berkualiti sejak kecil.

We Educate

HAS Filmmaking Academy

 

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi