019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Kubo and The Two Strings. 

Kami pernah menerbitkan satu artikel berkenaan penghasilan filem animasi ini. Kalian boleh baca artikel tersebut di sini

Filem yang menggunakan stop motion dari awal sampai akhir! Bagi sesiapa sahaja yang mempelajari Multimedia, mereka akan tahu bahawa stop motion adalah suatu proses yang sangat lama dan mencemuhkan.

Dan untuk filem ini menggunakan stop motion dalam proses pembikinan adalah sangat menakjubkan! Di samping proses pembikinan yang sangat menakjubkan ini, nilai kisahnya yang bermutu juga membuatkan kita tidak akan bosan menonton filem ini berulang kali!


PERANAN IBU BAPA

Ibu bapa sangat memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita. Digambarkan dalam cerita ini bahawa Kubo telah pun kematian bapanya sejak bayi dan ibunya pula meninggal sewaktu dia baru sahaja terpaksa memulakan pengembaraannya. Dia ditemani oleh seekor monyet dan seekor kumbang yang menjadi rakan peneman dan penasihat di sepanjang pengembaraannya.

Tanpa mereka sendiri sedari, rupa-rupanya monyet itu adalah ibunya sendiri manakala kumbang itu adalah bapanya yang telah disumpah sehingga dia hilang memori tentang dirinya yang dahulu.

Perlambangan monyet dan kumbang dalam pengembaraan Kubo ini jelas menunjukkan bahawa walau sejauh mana pun kita terpisah dari ibu bapa kita, didikan mereka sangat mempengaruhi kehidupan kita.

Walau mereka tidak lagi berada di samping kita, tanpa kita sedari nasihat-nasihat dan ajaran mereka akan sentiasa terngiang-ngiang di telinga kita. Dalam kisah ini ibu bapanya sentiasa bersama Kubo walau dalam bentuk yang berbeza. Begitu juga ibu bapa kita.

 

PENGEMBARAAN HIDUP

Semakin kita menginjak dewasa, kita akan melaui satu fasa di mana kita akan mengembara mencari sesuatu pergantungan baru. Digambarkan dalam cerita ini, Kubo yang ditinggalkan ibu bapanya akhirnya terpaksa mengembara untuk mencari perlindungan baru daripada Moon King.

Perisai yang mampu melindung Kubo itu boleh digambarkan sebagai satu kekuatan yang kita peroleh di sepanjang pengembaraan kita itu.

Ya, mungkin saja satu ketika nanti kita akan menghadapi satu masalah yang mana tidak dapat kita atasi. Begitu juga Kubo di mana masalahnya adalah Moon King. Pada awal cerita digambarkan bahawa ibunya sentiasa mengambil tindakan melarikan diriuntuk menyelamatkan Kubo apabila berhadapan dengan Moon King.

Namun apabila Kubo berjaya memperoleh perisai itu, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menghadapi Moon King.

Begitu juga kita, boleh saja untuk kita melarikan diri apabila menghadapi masalah. Namun ianya tidak menjamin bahawa masalah itu akan hilang begitu saja.

Sampai satu ketika, kita mestilah menghadapi masalah itu. Dan untuk memastikan kita berjaya menghadapi masalah itu, kita mestilah mencari kekuatan baru yang mampu menolong kita.

 

PELUANG KEDUA

Digambarkan di akhir cerita ini, Moon King yang pada asalnya ingin membunuh Kubo diberi peluang kedua apabila dia gagal menewaskan Kubo. Dia hilang kuasanya dan menjadi manusia biasa.

Dia juga turut hilang memori mengenai dirinya yang dahulu. Kubo yang tergamam melihat perubahan Moon King itu nyata terkelu tidak mampu melakukan apa-apa.

Namun penduduk kampung yang kebetulan berada bersama di situ memberi peluang kedua kepada Moon King. Mereka mencipta identiti baru untuk Moon King supaya akhirnya dia mampu hidup bersama mereka.

Dia digambarkan sebagai seorang yang baik hati dan pemurah terhadap penduduk kampung. Kubo juga akhirnya perlahan-lahan menerima ahli keluarga barunya itu.

Kadang kala manusia gagal memberikan peluang kedua kepada orang lain hanya kerana terkesan dengan perbuatan buruknya dahulu. Ianya normal.

Namun harus kita ingat kita juga sentiasa diberi peluang kedua setiap hari untuk terus hidup walau telah melakukan kesilapan yang sangat besar pada hari sebelumnya.


Kisah Kubo and The Two Strings ini tanpa sedar sebenarnya merupakan perlambangan kepada fasa kehidupan manusia, bagaimana seorang kanak-kanak menginjak dewasa.

Kita akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan semakin kita mendewasa. Namun harus kita ingat, kita tidak sewajarnya lari dari cabaran tersebut. Nasihat ibu bapa juga harus sentiasa tersemat di jiwa. Dan sentiasalah memberi peluang kedua bila diperlukan.

We Educate

HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi