019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

Disclaimer: Kredit gambar Nik Aimi Basyirah


 

Charles Xavier dan Eric Lehnsherr.

Siapa yang tidak kenal mereka?

Bagi siapa saja yang menonton dan mengikuti X-Men series, mereka pastinya akan mengenali dua watak utama dan watak penggerak filem-filem ini.

Charles Xavier atau lebih dikenali sebagai Profesor X dan Eric Lehnsherr atau Magneto. Seorang boleh membaca dan mengawal minda manakala seorang lagi boleh memanipulasi besi.

Sewaktu awal X-Men ditayangkan, kita telah pun disajikan dengan hubungan antara dua orang manusia mutan yang hebat ini. Keduanya memiliki matlamat yang sama; mahu melihat mutan diterima dalam kalangan manusia. Namun cara mereka untuk mencapai matlamat itu adalah sangat berbeza.

Profesor X mahu manusia menerima mutan dalam kalangan mereka sebagai kaum yang sama namun berbeza kebolehan. Manakala Magneto mahu manusia menerima mutan sebagai kaum yang lebih superior dan sebagai pemimpin. Cara mereka berbeza; Profesor X lebih senang bekerja secara rahsia manakala segala cara Magneto hendaklah diwar-warkan kepada dunia.

Namun satu kelebihan mereka; mereka tidak pernah cuba saling menjatuhkan. Walau cara mereka berbeza, mereka tidak pernah cuba membunuh antara satu sama lain. Malahan Magneto pernah menegur Pyro yang menghina Profesor X dalam X-Men; The Last Stand. Dia sangat menghormati Profesor X.


 

PERTEMUAN PERTAMA

Kisah Profesor X dan Magneto didedahkan di dalam X-Men: First Class. Mereka bertemu ketika sedang memburu mutan yang sedang menghuru-harakan dunia waktu itu, Sebastian Shaw atau nama lainnya, Dr. Klaus Schmidt. Magneto telah lama mencari Shaw kerana memmbunuh ibunya sendiri. Manakala Profesor X mencari Shaw apabila CIA meminta bantuannya untuk menjejaki Shaw.

Digambarkan waktu ini Magneto adalah seorang yang telah lama memendam perasaan benci terhadap Shaw sehinggakan perasaan itu telah menjadikan dia seorang yang sangat pesimis terhadap manusia. Hal ini kerana Shaw yang dikenalinya sebagai Dr.Schmidt telah membunuh ibunya bagi memaksa dia mendedahkan kuasa mutan nya. Magneto berpendapat bahawa manusia akan menggunakan mutan untuk kepentingan mereka semata apabila mereka mengetahui kewujudan mutan. Oleh sebab itulah, dia cuba untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mutan lebih berkuasa daripada manusia dan patut diangkat sebagai pemimpin.

Profesor X pula yang sejak kecil lagi hidup dalam keluarga kaya dibesarkan dalam keadaan optimis kepada dunia. Dia yakin bahawa mutan wujud untuk membantu dan hidup bersama manusia untuk memastikan keseimbangan dunia.

Mereka adalah dua insan yang saling melengkapi kehidupan masing-masing. Apabila perasaan benci menguasai Magneto, Profesor X ada untuk mengurangkan perasaan benci itu. Apabila Profesor X berasa was-was dengan matlamatnya, Magneto ada untuk meyakinkan kembali bahawa matlamatnya itu tidak sia-sia.

Namun, mereka mula berpisah apabila Magneto akhirnya mengambil keputusan untuk tidak lagi mendengar pujukan Profesor X. Dia akhirnya meneruskan niatnya membunuh Shaw walau beberapa kali dinasihatkan oleh Profesor X. Profesor X melepaskan Magneto apabila nasihatnya tidak mampu lagi memujuk Magneto.

 

HORMAT-MENGHORMATI

Satu perkara yang saya sukai mengenai hubungan mereka ini adalah walau berbeza pendapat, mereka masih saling menghormati. Mereka senantiasa cuba menggagalkan rancangan masing-masing. Namun mereka tidak pernah cuba untuk membunuh antara satu sama lain. Malahan mereka cuba menghalang sesiapa saja untuk membunuh mereka.

Mungkin saja Magneto diselubungi rasa bersalah kerana melumpuhkan Profesor X atau mungkin saja rasa sayang nya kepada kawan baiknya itu menyebabkan dia sentiasa cuba melindungi Profesor X. Hal ini dibuktikan dalam X-Men:The Last Stand apabila Phoenix membebaskan kuasanya sehingga akhirnya membunuh Profesor X, Magneto adalah antara yang cuba menghalang Phoenix.

Mereka saling menghormati sehingga ke tahap langsung tidak membenarkan anak buah masing-masing untuk membunuh antara satu sama lain.

Digambarkan pada saat-saat kemuncak dalam X-Men: Days of Future Past, ketika Sentinel menyerang tempat persembunyian mereka di China, Magneto ada menyebut bahawa dia berbangga pernah mengenali dan berjuang bersama Profesor X.

Ya, walau sedikit, Profesor X sebenarnya turut membentuk siapa Magneto pada hari ini. Dia lah yang mengembangkan kuasa Magneto ke tahap yang lebih baik dan juga yang membari harapan kepada Magneto untuk hidup dengan lebih terhormat.


Sejujurnya dalam menonton X-Men, hubungan persahabatan antara Magneto dan Profesor X adalah antara kisah yang saya nanti-nantikan di samping kisah mutan keseluruhannya. Mereka berbeza pendapat malah sentiasa cuba mengatasi antara satu sama lain. Namun dalam masa yang sama, perasaan hormat dan sayang itu masih wujud.

Bromance yang wujud antara mereka ini sebenarnya turut juga membentuk perjuangan mutan yang sebenarnya. Bromance mereka sebenarnya turut melambangkan sisi hitam putih kehidupan.

 

We Educate

HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi