019 - 255 8956 thehasfa@gmail.com

TUJUH BELAS TAHUN. 17. Waktu puncak remaja.

Pada umur ini, kebanyakan anak muda di Malaysia mungkin sedang sibuk memikirkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mungkin sudah ada yang merancang masa hadapan.

Berbeza dengan kehidupan remaja Amerika. Jika kita selusuri filem-filem highschool dari Amerika; lazimnya remaja Malaysia banyak didedahkan kepada kehidupan remaja Amerika berbanding Britain dengan kehadiran filem-filem Nickelodeon dan Disney seperti High School Musical dan The DUFF. 

Kebanyakan highschool di Amerika bermula pada usia 14 tahun di mana pelajar-pelajar ini dikategorikan sebagai freshman atau dalam 9th grade. Sesi persekolahan selalunya bermula Ogos dan berakhir Jun atau Julai tahun seterusnya dengan bermulanya musim panas. Kemudian 10th grade iaitu pelajar di antara 15-16 tahun dipanggil sophomore, 11th grade (16-17 tahun) dipanggil junior dan 12th grade (17-18 tahun) dipanggil senior. Kemudian mereka dikira graduasi dari highschool dengan memegang diploma.

Satu persamaan dalam kebanyakan filem highschool Amerika ini adalah mereka menonjolkan sisi remaja di peringkat 11th grade dan 12th grade. Digambarkan pada waktu ini mereka baru sahaja memasuki alam dewasa dengan sentiasa mengadakan parti-parti liar, seks bebas dan sebagainya.

Di peringkat usia ini, mereka mencuba segala macam benda. Pada waktu inilah, mereka memberanikan diri melakukan hubungan seks. Malahan memiliki status dara atau teruna dikira suatu perkara yang menghairankan!

Begitu juga yang cuba digambarkan dalam filem The Edge of Seventeen ini. Digambarkan watak utama dalam filem ini, Nadine (Hailee Steinfield) adalah seorang yang sentiasa berada di luar kotak pergaulan remaja sebayanya.

Di dalam satu babak di mana dia berbual dengan salah seorang gurunya, Mr. Bruner (Woody Harrelson), dia mengakui bahawa pemikirannya tidak sama seperti remaja sebaya. Dia lebih menyukai filem-filem lama dan lebih suka bergaul dengan orang-orang tua ‘lama’. Jadi dia tidak merasakan dia mampu menyesuaikan diri dalam kalangan pelajar sekolah tersebut.

TITIK PERUBAHAN

Akan ada satu waktu dalam hidup akan berlaku sesuatu yang menjadi titik perubahan dalam kehidupan kita. Ia mungkin berlaku bila-bila masa.

Ia mungkin saja berlaku sekarang!

Kita akan dipaksa keluar dari rutin seharian kita, keluar dari zon selesa dan menempuh apa sahaja yang terbentang di hadapan mata.

Waktu itu kehidupan kita akan berubah 360 darjah dan kita sendiri tidak menyedarinya. Kebanyakan titik perubahan ini selalunya terjadi apabila berlakunya sesuatu yang buruk dalam kehidupan kita.

Seperti Nadine dalam filem ini, titik perubahan nya digambarkan pada malam dia hampir sahaja dirogol oleh rakan sekolahnya (seseorang yang Nadine minati) setelah lelaki itu salah memahami mesej nya di laman sosial.

Pengalaman itu telah membuka matanya bahawa kehidupan ini bukan seperti yang dia sangkakan.

 

KEYAKINAN DIRI YANG SANGAT RENDAH

Nadine digambarkan sebagai seseorang yang terlebih peka terhadap dirinya .Dia merasakan bahawa dia adalah seorang yang selalu silap berkata-kata dan selalu menampilkan diri secara salah. Dia sentiasa merasakan bahawa dia tidak mampu menyesuaikan diri dalam mana-mana situasi.

Hal ini menyebabkan dia sukar untuk memiliki seorang sahabat kerana dia akan mula memikirkan mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Hal ini akhirnya memakan diri apabila dia kehilangan kawannya sendiri.

Kadang kala dalam hidup kita tidak sewajarnya terlalu memikirkan mengenai sesuatu perkara. Hal ini akan mendorong kita untuk menyisihkan diri daripada dunia di sekeliling kita. Orang lain akan melihat kita sebagai seseorang yang sukar bersosial dan hal ini akan menyebabkan mereka menjauhkan diri daripada kita.

Namun kadangkala hal ini bukanlah terjadi disebabkan kita. Ada juga yang sentiasa bersikap sebegini kerana mungkin dari kecil lagi dia sudah dimomokkan dengan kata-kata merendahkan sehinggakan dia sendiri mempercayai apa yang dia dengari.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang kita bicarakan. Ia mungkin saja mampu menjatuhkan orang lain.

YANG SEMPURNA TIDAK SELALU SEMPURNA

Dalam filem ini, Nadine menggambarkan abangnya, Darian sebagai seseorang yang sempurna. Dia seorang yang sentiasa cemerlang dalam pelajaran dan senang menyesuaikan diri. Dia juga adalah anak kegemaran ibu bapanya. Dia merasakan bahawa abangnya itu tidak memiliki sebarang masalah kerana perjalanan hidupnya sentiasa lancar.

Namun pengakuan abangnya pada suatu malam menyedarkan dia bahawa bukan dia seorang sahaja yang memiliki masalah. Ibu mereka yang baru sahaja kematian suami terlalu bergantung harap kepada Darian sehingga anak sulungnya itu terpaksa mengorbankan cita-citanya untuk sentiasa berada dekat dengan ibunya.

Kehidupannya tidaklah sesempurna yang orang lain bayangkan. Demi memastikan kelancaran kehidupan ibunya dan Nadine, dia mengorbankan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti yang bagus. 

Kadang kala kita terlupa bahawa hidup ini bukan sahaja berkisar tentang diri kita sahaja. Nadine digambarkan sebagai seseorang yang sentiasa memikirkan masalahnya sehingga dia merasakan bahawa orang lain tidak memiliki masalah sepertinya.

Hal ini menjadikan dia tidak sedar mengenai kehidupan keluarganya sendiri, tentang ibunya yang sentiasa risau memikirkan tentangnya, tentang abangnya yang bergelut memendam impiannya sendiri demi adiknya dan tentang rakannya yang sering menjaga hatinya.

PENDENGAR YANG BAIK

Mr. Bruner digambarkan sebagai seseorang yang sentiasa tenang menghadapi terjahan pelajarnya. Saya tidak pasti kenapa Nadine memilihnya sebagai tempat meluahkan masalah.

Namun pembawaan watak Mr. Bruner dalam filem ini sungguh mengesankan.

Jika kita perhatikan, tidak banyak dialog yang disampaikan oleh Mr. Bruner. Namun setiap kata-katanya didengari Nadine dengan baik. Dia tidak pernah membangkang malah hanya melihat Nadine dengan selamba apabila pelajarnya itu menyindirnya tanpa tapisan. 

Antara perbuatan yang paling mengesankan adalah apabila Nadine menyindir kurangnya rambut di kepalanya dan juga bahawa dia tidak memiliki isteri, saya mengagak bahawa dia akan membalas dengan sekurang-kurangnya menunjukkan cincin di jari manisnya (saya mengagak dia sudah berkahwin).

Namun tidak. Dia malahan melihat Nadine dengan wajah selambanya. Kemudian dia mengeluarkan bekalnya dan menyerahkan separuh biskutnya kepada Nadine. Apabila Nadine bertanya kenapa dia memberikan biskut nya itu, jawapannya mudah.

“Makes you better”

Betul! Kadangkala berkongsi sesuatu mampu menggembirakan hati seseorang. Nadine malahan terkelu dan seolah-olah meminta maaf kepada gurunya selepas itu.

(Ternyata Mr. Bruner sememangnya sudah berkahwin dan memiliki seorang anak. Anda mungkin akan tercuit hati menonton babak ketika Mr. Bruner membawa Nadine pulang ke rumahnya)


The Edge of Seventeen cukup lari dari stigma filem highschool yang biasa. Ia mengisahkan sisi lain remaja yang sedang berada di puncak remajanya. Kita senantiasa dimomokkan bahawa kehidupan remaja Amerika ini selalunya lancar dan tenang. Namun sebenarnya setiap kisah ada dua sisi: putih dan hitam.

Filem ini menunjukkan bahawa kehidupan seseorang watak utama tidak semestinya sempurna. Mereka adalah manusia, dan manusia itu bersifat tidak sempurna.

P/S: Saya menyukai watak hero -hero yang saya maksudkan adalah watak pasangan kepada watak utama- yang cuba digambarkan sebagai pasangan Nadine dalam filem ini. Selalunya kita dimomokkan dengan hero yang tampan, macho kaya dan ‘bad boy type’.

Namun watak hero dalam filem ini iaitu Erwin Kim adalah seorang lelaki Asian! Sangat jarang untuk melihat lelaki Asian memegang watak hero (hah, mungkin langsung tiada!). Lebih-lebih lagi, dia juga lari dari stigma tipikal watak-watak hero ini.

 

We Educate

HAS Filmmaking Academy

Share This

Belajar sesuatu?

Kongsi sekarang kepada rakan anda!

DAPATKAN SURAT KONGSI INSPIRASI!

Kongsikan e-mel anda di sini untuk kami inpirasikan dan hantarkan update artikel terbaru & freebies terus ke dalam inbox anda! Lebih tenang kan?

 

Tahniah! Mari sama-sama kita kongsi inspirasi